Bukan hudud

0
SIDANG MEDIA: Zahid dan Adenan pada sidang media menjelaskan kekeliruan terhadap Rang Undang-undang Persendirian dibentangkan Abdul Hadi. Turut kelihatan, (dari kiri, belakang) ADUN Balai Ringin Snowdan Lawan, ADUN Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya, Dr Sim, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua  Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Kemudahan Awam Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.

SIDANG MEDIA: Zahid dan Adenan pada sidang media menjelaskan kekeliruan terhadap Rang Undang-undang Persendirian dibentangkan Abdul Hadi. Turut kelihatan, (dari kiri, belakang) ADUN Balai Ringin Snowdan Lawan, ADUN Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya, Dr Sim, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Kemudahan Awam Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.

RUU Persendirian cuma pindaan kepada undang-undang sedia ada, bidang kuasa mahkamah sivil tidak akan diambil alih mahkamah syariah: TPM

Oleh Saibi Gi //

KUCHING: Bidang kuasa mahkamah sivil tidak akan diambil alih oleh mahkamah syariah di negara ini meskipun jika kerajaan memutuskan untuk membentang rang undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) kelak.

Timbalan Perdana Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkata demikian juga memberitahu tidak akan wujud dualisme antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah.

“Undang-undang ini bukan undang-undang hudud. Ia hanya pindaan terhadap undang-undang sedia wujud dan pindaan pernah dibuat terhadapnya pada 1984,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di pejabatnya, di bangunan Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Ahmad Zahid menegaskan lagi: “Dan ia tidak akan berkuat kuasa kepada bukan Islam dan ia bertujuan menaik taraf mahkamah syariah yang berada di kedudukan agak rendah dari skim perkhidmatannya.”

Jelasnya lagi, tujuan pindaan itu kelak adalah untuk memohon Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) agar skim perkhidmatan mahkamah syariah dipertingkatkan.

Bagaimanapun, menurutnya, pindaan itu cuma akan dibentangkan di Dewan Rakyat selepas melalui beberapa proses dan bukannya pada persidangan kali ini.

Mengikut jadual, Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan usul mencadangkan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian di Dewan Rakyat semalam.

Selepas dibentang, jika diterima sekalipun usul itu, ia masih tidak akan dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

“Sebarang pindaan perundangan adalah dalam bidang kuasa kerajaan, maka jika kerajaan berhajat meminda sekalipun ia tidak dibuat pada persidangan kali ini sebaliknya pada persidangan-persidangan akan datang,” jelasnya.

Sebelum rang undang-undang pindaan itu dibentang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan perbincangan dengan presiden-presiden parti komponen Barisan Nasional (BN).

Katanya, dengan kelulusan Perdana Menteri, kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen yang merangkumi semua parti politik dan Ahli Parlimen Islam atau bukan Islam.

Jawatankuasa Pemilihan itu, menurutnya, ditubuhkan bagi mendapatkan maklum balas dan penjelasan pindaan sebenar yang akan dilakukan kerajaan.

Ahmad Zahid juga meminta orang ramai atau ahli politik jangan keliru dengan proses pembentangan RUU Persendirian yang dilakukan oleh Presiden PAS yang dijadualkan semalam.

Justeru, katanya, tidak wujud soal perbahasan dan pengundian menerusi persidangan itu semalam memandangkan proses pindaan bukan sekadar membabitkan pembentangan oleh Ahli Parlimen Marang.

“RUU Persendirian yang akan dibawa oleh Ahli Parlimen Marang bukan merupakan bacaan kali kedua tetapi pembentangan dibuat oleh beliau untuk menjadikan rang undang-undang dibentang beliau pada Mei lalu dipinda sifatnya yang sebelum ini open ended.

“Pada hari ini (semalam) dia akan menyatakan bahawa beberapa klausa tertentu menjadi close ended, ertinya fokus kepada beberapa perkara. Saya belum dapat menyatakan lagi kerana belum dibentangkan sekarang (ketika sidang media),” ujarnya.

Sebelum ini, Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian dilaporkan berkata Ahli-Ahli Parlimen BN dari Sarawak telah diarahkan oleh Adenan agar tidak menyokong rang undang-undang dibentangkan Abdul Hadi.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang meluangkan masa menyaksikan persidangan DUN, memberitahu beliau telah memberi penjelasan kepada Adenan semalam tentang kedudukan sebenar perkara itu dalam pertemuan mereka.

“Kerajaan Persekutuan juga menghormati pandangan yang dibuat oleh Ketua Menteri Sarawak mengenai arahan kepada Ahli-Ahli Parlimen mengenai pindaan rang undang-undang ini.

“Saya telah menjelaskan kepada Ketua Menteri bahawa undang-undang ini memang telah wujud dan ia pernah dipinda pada 1984 dan ia tidak dibentang oleh kerajaan pada sesi persidangan parlimen kali ini,” jelasnya.

Mengenai dakwaan RUU Persendirian itu dibentangkan bagi membawa pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan, Timbalan Perdana Menteri menafikan dan menegaskan “tidak ada undang-undang hudud akan diperkenalkan.”

Menjawab soalan UMNO seolah-olah menyokong PAS, beliau berkata tidak wujud soal kepartian dalam isu itu.

“Sokong atau tidak adalah isu berlainan, ia bergantung dengan Jawatankuasa Pemilihan yang akan ditubuhkan dan kita akan membabitkan parti-parti komponen BN dan ahli-ahli daripada parti lain.

“Ia bukan muktamad lagi. Pasal undi rang undang-undang, jangan terlalu cepat membuat kesimpulan. Kita belum membuat keputusan lagi,” katanya.