Hina Islam boleh cetuskan ketidakstabilan: Abdul Hadi

0

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen bukan Islam diingatkan supaya tidak menghina Islam sehingga boleh menimbulkan ketidakstabilan se-perti yang berlaku di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.

Presiden PAS yang juga ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata ahli Parlimen bukan Islam tidak seharusnya mencampuri urusan berkaitan agama Islam dan umatnya kerana agama Islam merupakan hal yang berada di bawah bidang kuasa Sultan dan Raja-Raja Melayu.

“Ini bukan urusan mereka (bukan Islam). Saya memberi amaran kepada mereka supaya tidak bertindak seperti yang dilakukan Gabenor Jakarta Basuki Ahok Tjahaja Purnama di Jakarta,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen semalam.

Dilapor, Ahok, bukan Islam, dikecam kerana me-nyentuh hal-hal berkaitan Islam.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata PAS akan menganjurkan satu perhimpunan raksasa bagi membuktikan sokongan orang awam terhadap usul rang undang-undang persen-dirian berkaitan mahkamah syariah yang dibawa olehnya.

Jelas Abdul Hadi, satu perjumpaan dengan kumpulan-kumpulan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili umat Islam akan diadakan terlebih dahulu bagi menerangkan mengenai objektif perhimpunan tersebut.

“Perhimpunan ini akan mewakili suara orang Islam dan kalangan bukan Islam yang menyokong rang undang-undang ini. Kita akan bincangkan dulu di dalam perjumpaan berkenaan dan tarikh perhimpunan ini akan ditentukan kemudian,” kata-nya.

Abdul Hadi semalam membawa usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Ia bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau di-kenali Akta 355. — Bernama