Haruan makan anak

0

Oleh Jeremy Lanson//

DITANGKAP: Suspek (tiga kanan) bersama isterinya (kiri) semasa dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, semalam.

DITANGKAP: Suspek (tiga kanan) bersama isterinya (kiri) semasa dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, semalam.

KUCHING: Seorang ibu turut ditahan untuk membantu siasatan semalam selepas dikatakan hanya melihat suaminya merogol anak kandung mereka yang berusia 17 tahun di sebuah kampung di Petra Jaya.

Menurut sumber, wanita berusia 36 tahun terbabit bersama suaminya, 40, yang masing-masing tidak mempunyai pekerjaan ditahan di rumah mereka selepas laporan polis dibuat oleh mangsa.

Difahamkan, mangsa mendakwa beberapa kali dirogol oleh bapa kandungnya sejak bulan Julai tahun lepas dan yang terbaharu baru-baru ini (November) yang turut disaksikan oleh ibunya sendiri.

“Kejadian pertama berlaku pada Julai tahun lepas, di mana suspek telah masuk ke dalam bilik tidur mangsa lalu melakukan perbuatan terkutuk itu dan kejadian tersebut berterusan.

“Mangsa selain itu turut diugut akan dicederakan jika menceritakan perkara itu kepada orang lain.

“Kali terakhir mangsa dirogol ialah baru-baru ini (November) iaitu sekitar jam 3 pagi dan kejadian tersebut turut disaksikan oleh ibunya yang tidur sebilik, namun dia hanya melihat perbuatan suspek,” kata sumber.

Mangsa yang bekerja sebagai pelayan di sebuah kedai makan telah membuat laporan polis berhubung kejadian.

Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad Abang Julai semasa dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu mangsa telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan.

“Hasil laporan pemeriksaan di HUS mendapati mangsa hamil tujuh minggu dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak telah dimaklum untuk mendapatkan khidmat pegawai kaunseling.

“Bertindak kepada laporan tersebut juga, suspek dan isterinya berjaya ditangkap dan permohonan reman akan dibuat esok (hari ini),” katanya.

Menurut Abang Ahmad lagi, hasil ujian air kencing terhadap suspek lelaki juga mendapati positif dadah.

“Hasil soal siasat mendapati suspek mengaku merogol mangsa beberapa kali dan ujian saringan air kencing juga mendapati dia positif dadah,” katanya yang turut memberitahu suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Mangsa merupakan anak kedua daripada enam adik-beradik pasangan berkenaan.