Belia diingat jangan rosak masa depan terlibat jenayah

0

SRI AMAN: Belia perlu menjauhkan diri daripada terjebak masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah, menghidu gam, gengsterisme, mencuri, meragut atau merompak yang ternyata memberi kesan buruk kepada masa depan mereka.

Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawie Salleh berkata, perbuatan itu bukan sahaja boleh menggelapkan masa depan golongan belia itu sendiri malah memalukan ahli keluarga.

Justeru, belia harus menolak segala anasir luar yang cuba mempengaruhi mereka  sebaliknya harus fokus kepada pelajaran.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa menutup rasmi Program Randau Sosial dan Seminar Penyalahgunaan Dadah anjuran Pejabat Residen Bahagian Sri Aman dan PEMADAM Daerah Sri Aman bertempat di Dewan Suarah, Sri Aman dekat sini kelmarin.

Menurutnya lagi, belia adalah khazanah negara tidak ternilai harganya, pada bahu mereka  terpikul satu tanggungjawab besar untuk kecemerlangan bangsa dan negara.

“Anda pewaris kepimpinan negara pada masa akan datang dan anda juga bakal menjadi pemimpin dan membawa  kepada kemajuan dan pembangunan negara kita ini nanti,” jelasnya.

Justeru katanya, seseorang belia itu mesti mempunyai semangat patriotik, berdaya saing, berdisiplin dan mempunyai wawasan yang jelas atau mempunyai cita-cita yang besar untuk membangunkan diri, keluarga, masyarakat, bangsa dan agama.

Hadir sama pada program berkenaan, Penolong Pegawai Tadbir Sarawak di Pejabat Residen Bahagian Sri Aman, Noorhayati Ahmad serta yang lain.

Seramai 100 peserta yang terdiri dari para belia, ketua masyarakat, ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), ahli Persatuan dan Kelab di Daerah Sri Aman telah menyertai program yang berlangsung selama sehari berkenaan.