Ngap Sayot dibebani kos tinggi

0

Oleh Mohd Shafik Ahmad//

ABDUL KARIM

ABDUL KARIM

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) digesa untuk meneliti isu kos pengangkutan yang dihadapi Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) setiap kali pasukan negeri mengharungi perlawanan di tempat lawan.

Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata skuad Ngap Sayot terpaksa menanggung bebanan kos yang terlalu tinggi bagi menampung perbelanjaan pengangkutan dalam kempen Liga Malaysia.

Menurutnya, masalah itu bukan sahaja dialami oleh pasukan Sarawak malah negeri jiran, Sabah juga berdepan kekangan yang sama ketika bertandang ke Semenanjung Malaysia untuk beraksi di gelanggang lawan.

“Pasukan Sabah dan Sarawak menderita akibat bebanan kos pengangkutan yang ditanggung terlalu tinggi apabila keluar dari negeri untuk beraksi di tempat lawan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menjelaskan perkara itu, kos yang ditanggung keduadua negeri terbabit memakan jumlah yang besar berbanding pasukan yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia.

Abdul Karim menegaskan FAM selaku badan induk bola sepak negara perlu memandang serius perkara ini dan mengkajinya secara lebih mendalam.

“Kita (Sarawak) dan Sabah juga merupakan pasukan yang menyertai pelbagai pertandingan bola sepak peringkat kebangsaan anjuran FAM.

“Takkan hendak biarkan Sabah dan Sarawak terus terbeban dengan kos yang tinggi… jika tidak dibantu,” katanya.

Mengulas berhubung Mesyuarat Agung (AGM) FAM yang dijadualkan berlangsung tahun depan, Abdul Karim berkata adalah wajar bagi FAS menghantar wakil untuk bertanding.

Menurut beliau, dengan adanya wakil dari Sarawak dalam jawatankuasa eksekutif FAM sekali gus dapat menyuarakan isu-isu yang membelenggu pasukan negeri-negeri dari Malaysia Timur.

“Kita patut hantar wakil, sekurang-kurangnya masalah yang kita hadapi dapat disuarakan terutamanya isu pengangkutan yang ditanggung pasukan kita (Sarawak) selama ini,” katanya.

Abdul Karim berkata, tindakan segera perlu diambil bagi mengatasi masalah kos pengangkutan terlalu tinggi yang menjadi antara peny- umbang terbesar dalam kos operasi badan induk persatuan bola sepak negeri itu.