Musnah segalanya

0

Dua kebakaran berasingan di Miri menyebabkan lapan penghuni hilang tempat berteduh.

MUSNAH: Keadaan sebuah rumah yang musnah dalam kebakaran di Jalan Setia Raja, Miri awal pagi semalam.

MUSNAH: Keadaan sebuah rumah yang musnah dalam kebakaran di Jalan Setia Raja, Miri awal pagi semalam.

// Oleh Rosemaria Buma //

MIRI: Lapan penghuni tinggal sehelai sepinggang dalam dua kebakaran berasingan yang berlaku di Jalan Setia Raja dan Kampung Pasir, Lutong di sini pagi semalam.

Dalam kejadian pertama, sebuah keluarga terdiri daripada empat penghuni kerugian besar apabila kebakaran yang berlaku pada waktu subuh turut memusnahkan tiga buah kereta milik mereka.

Menurut mangsa, Hadeni Ahmad, 27, kejadian hanya disedari sekitar jam 4 pagi semasa dia bangun untuk ke dapur meminum air.

“Sekitar jam 4 pagi, tiba-tiba saya terbangun apabila tekak terasa haus dan terus pergi ke dapur untuk mendapatkan air.

“Semasa berada di dapur, saya terhidu bau asap dan apabila melihat keluar, saya ternampak api,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Serentak itu, beliau terus mengejutkan mereka sekeluarga yang sedang nyenyak tidur supaya keluar segera menyelamatkan diri sebelum dia berlari ke arah Balai Bomba dan Penyelamat Miri yang terletak 500 meter dari rumahnya untuk mendapatkan bantuan.

Berikutan itu, sepasukan anggota bomba terdiri daripada tujuh orang telah bergegas ke lokasi kejadian dan mengambil masa hampir sejam untuk memadam kebakaran.

Operasi tamat sepenuhnya jam 5 pagi.

Menurut Hadeni, rumah itu telah didiaminya bersama ayah, makcik dan seorang adik sejak hampir 20 tahun lalu.

Sementara itu, dalam kebakaran kedua, sepasang suami isteri bersama dua anak yang masih kecil turut tinggal sehelai sepinggang setelah rumah mereka yang terletak di Simpang 4, Kampung Pasir Lutong ranap dalam kebakaran yang berlaku sekitar jam 11 pagi semalam.

Menurut mangsa, Dorenda Ulung, 38, mereka sekeluarga tinggal di rumah setinggan itu yang dibina berhampiran Sungai Lutong sejak hampir setahun lalu.

Katanya, rumah itu kepunyaan seorang saudara namun oleh kerana mereka sekeluarga tidak mempunyai tempat tinggal, justeru pemilik rumah terbabit membenarkan mereka mendiami rumah berkenaan.

Menurut Dorenda, mereka sekeluarga keluar rumah untuk mencari sayur midin pada jam 10 pagi dan terkejut apabila jiran menghubunginya memberitahu bahawa rumah mereka terbakar.

“Semasa kejadian, kami sekeluarga tiada di rumah. Justeru tiada satupun harta benda yang dapat diselamatkan.

“Sekarang kami tidak punya apa-apa lagi, semuanya telah musnah menjadi abu,” katanya dalam nada sedih ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, sepasukan tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng bergegas ke lokasi kebakaran setelah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.

Nilai kerugian dan punca sebenar kedua-dua kebakaran itu masih disiasat.

JADI ABU: Seorang anggota bomba terpaksa menggunakan sebuah baldi berisi air yang diambil dari Sungai Lutong untuk memadam api dalam kebakaran di Kampung Pasir Lutong pagi semalam.

JADI ABU: Seorang anggota bomba terpaksa menggunakan sebuah baldi berisi air yang diambil dari Sungai Lutong untuk memadam api dalam kebakaran di Kampung Pasir Lutong pagi semalam.