Malam jalinan mesra tolak kehadiran ekstremis politik, agama

0

KOTA MARUDU: Golongan ekstremis tidak mempunyai tempat di negeri ini kerana masyarakat di sini sudah mewarisi kehidupan bersama tanpa mengira keturunan, agama dan warna kulit.

Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Anita Baranting berkata, golongan yang mahu memporak-perandakan keadaan harus sedar bahawa tingkah laku mereka langsung tidak memiliki nilai kemanusiaan bagi masyarakat di negeri ini.

“Persefahaman dan hubungan baik di antara satu sama lain sudah lama terjalin dalam masayrakat kita di Sabah meskipun mereka mengamalkan agama dan tradisi yang berbeza,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Tandek berkata demikian ketika merasmikan Makan Amal Jalinan Mesra Menjangkau Kasih yang bertujuan memperkukuhkan silaturahim sempena karnival sukan Sabah SDA Sport and Recreation Club di Dewan Komuniti, di sini, baru-baru ini.

Menurut beliau negara-negara yang bergolak memperlihatkan sebahagian besar rakyatnya menghadapi krisis kemanusiaan yang tidak lagi memiliki rasa hormat dan kasih sayang sesama manusia.

Anita menegaskan usaha pihak penganjur mewujudkan ruang lebih luas kepada persahabatan melalui sukan amatlah disanjung tinggi malahan sudah berkembang sejak awal program itu diperkenalkan.

“Kita bersyukur kerana tanpa bantuan kewangan pihak kerajaan, karnival tetap dapat diadakan sehingga memasuki tahun ke-23 dengan menjadikan Kota Marudu sebagai tuan rumah,” katanya.

Terdahulu, pengerusi penganjur Majuntan Jaga berkata pihaknya amat berterima kasih di atas segala bantuan dan kerjasama yang diberikan masyarakat setempat sehingga program peringkat negeri itu dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur.

Majlis itu diserikan pelbagai persembahan khususnya koir belia beserta tarian dari Goshen di samping hidangan tempatan yang disediakan Restoran Singgah Hati.

Turut hadir, Presiden SSSARC Datuk Maijol Mahap, mantan Ahli Parlimen Bandau Datuk George Sangkin dan Pengarah Hospital Kota Marudu Dr Lydiarita M Marajin.