Senjata dirampas dipercayai tinggalan pencerobohan di Lahad Datu

0

KOTA KINABALU: Polis percaya senjata termasuk senapang M16 serta peluru yang dirampas daripada seorang penjaga ladang di Lahad Datu dipercayai tinggalan daripada pihak pengganas semasa kes pencerobohan Lahad Datu 2013 lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun berkata, hasil siasatan polis mendapati senapang M16 yang lengkap dengan 14 kelopak kosong, botol plastik berisi peluru dan dua bom tangan yang tidak dikenali ditinggalkan oleh pengganas semasa Ops Daulat tiga tahun lalu.

“Setakat ini, kita masih belum boleh mengesahkan apa-apa. Bagaimanapun, polis kini sedang melengkapkan siasatan bagi mengenal pasti kejadian sebenar,” katanya selepas merasmikan pelancaran Jawatankuasa Perhubungan Protem Retired Senior Police Officers Association (RESPA) di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, kelmarin.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Presiden RESPA Datuk Mohd Nawawi Ismail.

Rashid bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkenaan rampasan senjata terbabit dan berkata penjaga ladang yang berumur 50 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Pada 26 November lalu, seorang penjaga ladang ditahan selepas polis mendapat maklumat berkenaan penjaga terbabit yang memiliki senapang M16 dan beberapa peluru dalam keadaan yang mencurigakan.

Kesemua barangan terbabit kemudiannya dijumpai polis di sebuah ladang di Kampung Pasusul kira-kira jam 8 pagi selepas mendapat maklumat daripada orang ramai.

Penjaga ladang terbabit mendakwa beliau menjumpai barangan itu di atas tanah dalam keadaan bertaburan beberapa bulan lalu semasa membersihkan kawasan untuk tujuan pertanian.

Beliau (penjaga ladang) kemudiannya membersihkan senapang dan barangan berkenaan sebelum membungkusnya secara rapi sebelum menyembunyikan barangan itu di dalam kawasan ladang.