PBS Kadamaian laksana kursus bantu penduduk jana pendapatan

0
USAHA TANGGA KEJAYAAN: Demis menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta diperhatikan oleh Walter Mukis, Ghani dan Walter Kandayon.

USAHA TANGGA KEJAYAAN: Demis menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta diperhatikan oleh Walter Mukis, Ghani dan Walter Kandayon.

KOTA BELUD: Pelbagai kursus sedang dan akan dilaksana bagi membantu penduduk menjana pendapatan.

Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Kadamaian Demis Rumanti yakin ilmu yang diperolehi daripada program yang dianjurkan, jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh, pasti memberi manfaat yang besar.

“PBS Kadamaian berusaha mempelbagaikan program sosioekonomi bagi membantu golongan kurang berkemampuan dan yang berminat untuk meningkatkan kemahiran dengan membawa penceramah yang berpengalaman,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Bengkel Penternakan Asas dan Teknik Pembiakan Ikan Air Tawar di Pejabat PBS Tamu Darat, di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Bahagian Ghani Sumbin, AJK bahagian serta pergerakan Pemuda dan Wanita.

Demis meminta supaya kerajaan memberi bantuan kepada golongan berpendapatan rendah dengan memberi galakan membina kolam serta membekalkan bibit ikan.

Beliau turut memohon kerajaan menyediakan pusat sehenti untuk pemasaran ikan air tawar.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Bengkel Walter Kandayon berkata bengkel itu adalah salah satu aktiviti ekonomi oleh PBS Kadamaian kepada komuniti setempat.

“Beberapa aktiviti serupa seperti ceramah penternakan ayam kampung telah diadakan di Kg Tambatuon.

“Melalui Biro Pelancongan, PBS Kadamaian menjalin hubungan baik dan kerjasama dengan Persatuan Pelancongan Kadamaian (KaTa) untuk menganjurkan aktiviti ke arah kemajuan pelancongan di Kadamaian,” katanya.

Walter yang juga Naib 2 PBS Kadamaian berkata atas sambutan yang menggalakkan, PBS Kadamaian akan terus melaksanakan kursus atau bengkel berkaitan ekonomi dalam masa terdekat.

“Berkat kesungguhan peserta dan usaha berterusan menambah ilmu, ia dapat meningkatkan sumber pendapatan dan keluar dari garis kemiskinan,” katanya.

Seramai 100 orang menyertai bengkel sehari itu yang dikendalikan oleh Walter Mukis, pengusaha penternakan ikan air tawar komersial dan penceramah bebas berkaitan teknikal penternakan ikan.