Sarawak mahu janji ditunai

0

Oleh Nick Fletcher//

UNTUK ALBUM: Abdullah (kiri) merakamkan gambar dengan Adenan (dua kanan) dan isteri, Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu (dua kiri) dan Asfia (kanan).

UNTUK ALBUM: Abdullah (kiri) merakamkan gambar dengan Adenan (dua kanan) dan isteri, Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu (dua kiri) dan Asfia (kanan).

KUCHING: Kerajaan persekutuan tidak boleh lagi menganggap Sarawak sebagai ‘deposit tetap’ dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang jika janji-janji semasa pilihan raya lepas tidak ditunaikan sepenuhnya.

Malah, Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak Abdullah Saidol menegaskan kerajaan persekutuan juga harus memberi respons positif dan meyakinkan terhadap rundingan-rundingan dengan kerajaan negeri.

“Sejujurnya, pendirian BNBBC Sarawak adalah jika janji PRU lepas tidak ditunaikan dan jika rundingan-rundingan kita tidak membuahkan respons positif, maka kerajaan persekutuan tidak seharusnya menganggap kita sebagai deposit tetap seperti dahulu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam BNBBC Sarawak di sini, kelmarin yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, Speaker Dewan Undangan  Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, menteri-menteri kabinet negeri serta para Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak.

Namun demikian, Abdullah yang juga ADUN Semop berkata, BNBBC amnya tidak akan membelakangkan calon-calon Parlimen Barisan Nasional (BN) pada PRU nanti, sebaliknya akan membantu memberi kemenangan kepada mereka.

“Kami terutama para ADUN akan cuba memastikan semua calon Parlimen BN yang akan bertanding menang dalam PRU akan datang dengan sasaran seramai 28 hingga 29 daripada 31 calon, berbanding sasaran 25 orang sebelum ini, itu janji BNBBC Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata semua 48 ahli BNBBC juga akan terus menyokong Adenan untuk memberi tekanan dan desakan dengan lantang serta tegas kepada kerajaan persekutuan dalam menuntut hak-hak Sarawak, tanpa meretakkan hubungan antara kedua-dua pihak.

Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata BNBBC turut kecewa dengan belanjawan yang diumumkan di peringkat persekutuan yang tidak memenuhi keperluan peruntukan yang besar bagi negeri ini untuk mencapai pembangunan setaraf dengan negeri-negeri lain.

Bagaimanapun, katanya, kekecewaan itu sedikit terubat dengan belanjawan negeri yang besar seperti diumumkan oleh Adenan pada persidangan DUN berakhir kelmarin, yang memfokuskan usaha ke arah mensejahtera masyarakat luar bandar.

“Kami sangat hargai belanjawan negeri ini di mana saya berasakan ia adalah yang terbaik antara negeri di seluruh Malaysia walaupun dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu,” katanya.