Acara perpaduan rakyat

0

Oleh Florence Nervyn//

RASMI: Masing (dua kiri) menyumpit belon simbolik perasmian Pesta Selangau, semalam.

RASMI: Masing (dua kiri) menyumpit belon simbolik perasmian Pesta Selangau, semalam.

SELANGAU: Pesta Selangau menjadi acara penting dalam usaha menyatupadukan masyarakat majmuk terutama penduduk Selangau.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing berterima kasih kepada Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) kerana menghidup semula penganjuran Pesta Selangau kepada penduduk setempat.

“Ini sangat penting kepada pihak berkuasa berkaitan di Selangau yang berusaha menganjurkan apa sahaja program yang dapat membawa masyarakat berkumpul bersama.

“Di samping itu, ia juga membolehkan masyarakat menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan untuk menjana pendapatan mereka,” jelasnya ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan Pesta Selangau di sini, semalam.

Masing berkata, acara itu bukan sahaja mempromosikan bazar Selangau, malah keseluruhan kawasan Selangau kepada penduduk luar.

Memuji kejayaan penganjuran Pesta Selangau, Masing berkata, beliau sendiri telah berkunjung ke Selangau beberapa kali, tetapi tidak pernah melihat begitu ramai orang hadir pada program seperti acara Pesta Selangau semalam.

“Ini adalah petanda  baik dengan sokongan masyarakat setempat terhadap penganjuran Pesta Selangau,” ujarnya yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan.

Menyentuh mengenai penganjuran Cabaran Rakit Pesta Selangau yang julung kali diadakan, Masing berkata acara tersebut akan membawa masyarakat luar datang ke Selangau.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluan, pengerusi penganjur Pesta Selangau Kaunselor Ho Kok Munting berkata, Pesta Selangau kali ini bertema ‘Seati, Sejalai.’

Beliau berkata, MDLBS berharap bazar Selangau dapat menjadi tarikan pelancongan kerana potensi Selangau yang terletak di lokasi strategik antara Mukah, Bintulu dan Sibu.

Ujarnya, pelbagai aktiviti diadakan sempena Pesta Selangau termasuk pertandingan ‘street soccer,’ pertandingan nyanyian dan cabaran berakit.

Mengenai Cabaran Rakit Pesta Selangau, Ho berkata, setakat ini sebanyak 40 pasukan telah mengesahkan penyertaan termasuk peserta luar negara dari Amerika Syarikat dan Jerman.

Pada majlis sama, Masing mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk penganjuran Pesta Selangau pada tahun depan.

Hadir sama ialah Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk John Sikie Tayai, ADUN Tamin Christopher Gira, ADUN Balai Ringin Snowdan Lawan, Residen Bahagian Sibu Hii Chang Kee dan Pengerusi MDLBS Sempurai Petrus Ngelai.