Suri rumah cedera, kerugian RM500 disamun tiga lelaki

0
MANGSA SAMUN: Muka mangsa cedera selepas dipukul tiga suspek yang menyamunnya di kawasan letak kereta di sebuah kedai di Damai Plaza Luyang.

MANGSA SAMUN: Muka mangsa cedera selepas dipukul tiga suspek yang menyamunnya di kawasan letak kereta di sebuah kedai di Damai Plaza Luyang.

KOTA KINABALU: Seorang suri rumah bukan sahaja mengalami kecederaan di badan malah turut kerugian sebanyak RM500 selepas disamun tiga lelaki di kawasan letak kereta di sebuah kedai di Damai Plaza Luyang, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, mangsa berumur 62 tahun mengalami lebam di bahagian mata dan lengan sebelah kiri selain sakit di seluruh badan akibat bergelut dengan tiga suspek terbabit.

“Kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu berlaku semasa mangsa didatangi tiga lelaki yang menyamun mangsa sebelum berlaku pergelutan di antara mangsa dan suspek.

“Pergelutan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan selain sakit di seluruh badan akibat ditumbuk tiga suspek terbabit.

“Suspek turut melarikan wang tunai sebanyak RM150, dua kad ATM dan sebuah telefon bimbit milik mangsa dengan anggaran kerugian sebanyak RM500,” katanya.

Chandra berkata pihaknya kini sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kes itu dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan melalui pasukan petugas yang dibentuk berhubung kejadian itu.

Pihaknya turut menasihatkan orang ramai untuk bergerak secara berkumpulan atau sekurang-kurangnya berteman bagi langkah keselamatan serta mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.