Enumerators, MUFFA buat hitungan akhir

0

KUCHING: FC Enumerators dan MUFFA akan mengharungi perhitungan terakhir petang ini bagi merebut takhta kejuaraan sulung Liga Persahabatan Kuching (KFL) 2016.

Padang Bola Sepak HDC, Kampung Tunku akan menjadi pentas akhir perlawanan yang bakal berlangsung sengit antara dua pasukan itu.

Persoalannya, siapa yang bakal bergelar juara kejohanan edisi pertama tersebut yang menyaksikan kedudukan FC Enumerators dan MUFFA hanya dibezakan dengan dua mata.

Apa yang pasti, MUFFA tidak mempunyai pilihan lain selain meraih kemenangan untuk naik ke persada liga sementara pencabarnya hanya memerlukan sekurangkurangnya satu mata untuk kekal selaku juara.

Berbekalkan 16 mata, FC Enumerators dilihat masih belum selamat kerana di atas kertas kelebihan pasti memihak kepada pasukan itu.

Namun, MUFFA yang tampil cemerlang sepanjang liga mengekori rapat kedudukan pendahulu liga yang hanya dipisahkan dengan dua mata.

FC Enemerators yang terikat 1-1 ketika bertemu SIFT dalam aksi minggu lalu membantutkan peluang melakar sejarah awal menjulang trofi kejohanan liga.

Pasukan itu gagal mengutip tiga mata untuk mengesahkan kejuaraan awal berbanding MUFFA yang cemerlang memperolehi kemenangan 4-1 ke atas Jati FT sekali gus merapatkan jurang mata.

Difahamkan kejohanan itu akan diteruskan dengan H2 Sports Cup yang dijadualkan berlangsung pada 10 hingga 18 Disember ini.

Semua pasukan yang beraksi dalam kempen KFL 2016 akan berentap semula merebut piala kejohanan tersebut.