Inisiatif dekati rakyat

0
LANCAR: Julaihi (dua kiri) menyempurnakan pelancaran CTC Bergerak di Dataran Sematan semalam.

LANCAR: Julaihi (dua kiri) menyempurnakan pelancaran CTC Bergerak di Dataran Sematan semalam.

CTC Bergerak pendekatan kerajaan sedia khidmat berkualiti kepada rakyat di luar bandar: KM

Oleh Jacob Achoi //

SEMATAN: Kerajaan akan terus menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat di luar bandar dengan membawa pelbagai jabatan dan agensi kerajaan mendekati mereka.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata usaha ini adalah untuk memudahkan rakyat luar bandar mendapatkan perkhidmatan kerajaan.

“Seperti Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang boleh didapati di bandar-bandar, kerajaan juga berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan yang hampir serupa di luar bandar.

“Caranya adalah dengan memperkenalkan Pusat Transformasi Masyarakat (CTC) Bergerak untuk agensi dan jabatan-jabatan kerajaan turun padang mendekati rakyat.

“Perkhidmatan CTC Bergerak ini akan memudahkan rakyat luar bandar mendapatkan perkhidmatan daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan,” katanya pada pelancaran CTC Bergerak di Dataran Sematan semalam.

Teks ucapan Adenan telah disampaikan oleh wakilnya, Menteri Muda Ekonomi Luar Bandar (Kawasan Pesisir) dan Perikanan Datuk Julaihi Narawi.

Tegas Adenan, meskipun kerajaan ada menubuhkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) bagi menyediakan perkhidmatan kerajaan, namun fasiliti ini tidak dapat memenuhi keperluan rakyat terutama yang tinggal jauh di pedalaman.

CTC Bergerak ini, katanya, merupakan inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan tujuan untuk sampai kepada kumpulan sasaran, selain menjadi platform untuk interaksi lebih baik antara kakitangan CTC Bergerak.

Inisiatif ini juga, menurut Adenan, akan membolehkan rakyat mengetahui dan memahami perkhidmatan yang disediakan oleh pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

Sementara itu, Julaihi yang juga Menteri Muda Pembangunan Perindustrian, Pelaburan dan Promosi berkata, CTC Bergerak ini adalah bertepatan dengan polisi kerajaan yang memberi penekanan kepada pembangunan luar bandar.

“Program seperti CTC Bergerak ini menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk mentransformasikan kawasan luar bandar,” katanya.

Antara perkhidmatan yang disediakan di bawah CTC Bergerak ini ialah perkhidmatan kesihatan, pergigian dan bantuan kebajikan.