Regata lonjak pesta sukan air

0
RASMI: Mawan menyempurnakan perasmian Regata Saratok di Pentas Ria, Tebingan Krian semalam.

RASMI: Mawan menyempurnakan perasmian Regata Saratok di Pentas Ria, Tebingan Krian semalam.

Malah mampu mencungkil bakat, kemahiran penduduk dan pengemar sukan air

SARATOK: Acara regata mampu melonjak sejarah kegemilangan sukan air di samping memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai semangat cinta akan sungai menjadi nadi utama kehidupan masyarakat.

Ahli Parlimen Saratok, Tan Sri William Mawan Ikom berkata masyarakat kini mungkin terlupa kepentingan sungai dalam kehidupan berikutan peredaran masa dan kemodenan memberi kesenangan dan keselesaan.

“Justeru, dengan penganjuran aktiviti sungai mampu memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai asalusul berkait rapat dengan sungai juga memberi kesedaran semua pihak pentingnya menjaga kebersihan dan persekitaran sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Regata Saratok yang disaksikan kira-kira 3,000 orang masyarakat sekitar di Tebingan Krian, semalam.

Jelasnya, melalui penganjuran regata ia mampu mencungkil bakat dan kemahiran kalangan penduduk tempatan dan pengemar sukan air menghasilkan bot berkuasa tinggi, kreatif dan berdaya saing.

“Selain itu, aktiviti ini turut memberi semangat perpaduan dan berpasukan kepada peserta di samping meningkatkan semangat bersaing secara sihat,” katanya.

Menurut Mawan, kehadiran ramai masyarakat menyaksikan dan berkunjung ke tapak pesta itu membuktikan aktiviti sukan mampu menarik orang ramai dan semangat perpaduan kaum.

Katanya, program ini turut memberi impak postif kepada masyarakat yang bijak memanfaatkan segala peluang untuk menambah pendapatan dengan bergiat dalam perniagaan.

“Banyak peluang perniagaan wujud melalui aktiviti ini.

Apa yang perlu kehendak, kemahuan dan kebijaksanaan memanfaatkan segala peluang diterjemah menjadi sumber pendapatan lumayan.

“Masyarakat perlu menggunakan peluang yang ada dan dengan produk inilah peluang terbaik kita menyasarkan produk tersebut ke pasaran terbuka,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Saratok Mohd Ikmal Abdullah berkata sambutan masyarakat pada penganjuran kali ini amat memberangsangkan.

Katanya, sebanyak 23 pasukan dari seluruh negeri memeriahkan regata ini merangkumi 19 perahu kayuh menyertai perlumbaan perahu dan 14 peserta bagi kategori enjin pam.

“Dalam setiap acara, sebanyak 37 buah perahu mendaftar untuk menyertai setiap pertandingan,” katanya.

Jelasnya, dengan sambutan menggalakkan itu membuktikan penganjuran ragata kali ini mampu merapatkan hubungan dan membuka banyak peluang perniagaan kepada masyarakat.

Hadir sama Residen Bahagian Betong Datu Romi Sigan Daniel, Pegawai Daerah Kabong Kamalludin Alkap, ketua-ketua jabatan dan masyarakat.