Semakin kurang rakyat Malaysia makan sayur dan buah

0

KUALA TERENGGANU: Rakyat Malaysia dikesan semakin kurang  mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan dalam sajian seharian walaupun ia antara nutrisi penting bagi kesihatan badan.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohamad Jusoh berkata mengikut kajian yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2015, nisbah rakyat Malaysia yang mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan adalah 1:15 atau kira-kira 6 peratus sahaja berbanding 7.5 peratus pada 2011.

Terengganu merupakan negeri keempat terendah yang penduduknya mengambil sayur dan buah-buahan dalam tempoh tujuh hari, iaitu 1:41 daripada rakyat negara ini.

“Kita tidak mengesan sebab-sebab spesifik yang menjadi punca penurunan kadar pengambilan sayur dan buah-buahan dalam kalangan rakyat Malaysia mahu pun rakyat negeri ini.

“Tapi kita percaya dengan adanya kempen dan kesedaran yang berterusan mengenai pentingnya pengambilan sayur dan buah-buahan secara seimbang dalam menu makanan seharian, kita pasti peratusan tersebut akan meningkat,” katanya selepas melancarkan kempen Makan Sayur dan Buah-buahan KKM Peringkat Terengganu di sini semalam.

Dr Mohamad dalam pada itu berkata kempen berkenaan yang dilancarkan tahun ini akan diteruskan pada tahun hadapan dengan harapan pengambilan sayur dan buahan-buahan dapat dibudayakan dalam masyarakat di negara ini.

“Menerusi kempen ini kita mahu memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa sayur dan buah-buahan mempunyai khasiat terutama dalam membantu mengelak daripada masalah tidak berjangkit seperti darah tinggi, kencing manis, kanser dan penurunan berat badan. — Bernama