Abang Johari serikan kemeriahan Konsert Tribute To Sudirman

0

KUCHING: Konsert Tribute To Sudirman berlangsung meriah dengan kehadiran warga kota membanjiri bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama di sini, malam kelmarin.

Program itu turut diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg serta isterinya Datin Amar Datuk Juma’ani Tuanku Bujang.

Antara tetamu kehormat lain yang hadir ialah Menteri Muda Pelacongan, Kesenian dan Kebudayaan merangkap Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta isterinya dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Sarawak Datu Ik Pahon Joyik.

Konsert itu dipersembahkan oleh gandingan artis tempatan sambil diiringi kumpulan Simfoni Orkestra Negeri Sarawak (SONS).

Antaranya, Zul Eskandar, Norafizah Busman, Norainy Khan, Tuah Jill, Mohd Nur Izwandy Affendi, Hishamudin Zawawi, Bob Yusuf dan Sharifah Zarina.

Di samping persembahan nyanyian, konsert itu turut diselitkan dengan pementasan sketsa oleh pengamal seni kreatif tempatan.

Konsert itu benar-benar mengembalikan penonton ke era kegemilangan anak seni permata negara, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad yang terkenal dengan beberapa panggilan termasuk Seniman Bangsa, Dia Seniman Rakyat.

Beberapa segmen persembahan dilakukan sempena konsert tersebut menandakan perjalanan hidup Sudirman bermula dari awal penglibatannya dalam seni muzik tanah air.

Antara lagu popular yang didendangkan ialah Basikal Tua, Apa Khabar Orang Kampung, Ayah dan Ibu, Warisan, Chow Kit Road, Aku Penganggur dan banyak lagi.

SONS mula ditubuhkan pada 1988 atas cetusan idea Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud selain dirasmikan oleh beliau sendiri yang juga merupakan Ketua Menteri pada masa itu.

Ia terdiri daripada tiga kumpulan merangkumi SONS Classic Orchestra, Pop Jazz Orchestra dan SONS Choir.

Matlamat penubuhannya adalah untuk mempersembahkan pelbagai genre muzik sebagai hiburan masyarakat umum.