Bersaing pada kejohanan kompetitif

0
TERIMALAH: Dr Rundi (tengah) menyaksikan Poh (dua kiri) menyerahkan jersi kepada Guru Besar SK Jepak, Ali Sabri Saber Ali Khan sambil disaksikan oleh (dari kiri) Duke dan Nadzirudin.

TERIMALAH: Dr Rundi (tengah) menyaksikan Poh (dua kiri) menyerahkan jersi kepada Guru Besar SK Jepak, Ali Sabri Saber Ali Khan sambil disaksikan oleh (dari kiri) Duke dan Nadzirudin.

Lebih ramai pemain luar bandar menyerlah potensi perlu diketengahkan ke peringkat lebih tinggi

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

BINTULU: Lebih ramai pemain bola sepak dari luar bandar terutama yang menyerlah perlu diketengahkan dan diberi peluang mewakili bahagian mahupun menyarung jersi negeri dan kebangsaan pada masa hadapan.

Menteri Kemudahan Awam merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kemena, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata ramai pemain berbakat dari luar bandar menyerlah tetapi belum berpeluang bersaing pada kejohanan peringkat bahagian.

Beliau merujuk pemain-pemain luar bandar di kawasan Belaga, Pandan, Sebauh dan kawasan luar bandar lain di negeri ini yang mampu diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Penyertaan pada kejohanan seumpamanya perlu dilihat pemain sebagai satu peluang meningkatkan diri dan masa depan mereka dalam sukan bola sepak,” katanya pada majlis penyerahan piala tajaan dan jersi Piala Belia Luar Bandar Sarawak 2016 daripada Lea Sports Centre (LSC) sempena pelancaran pejabat Akademi Bola Sepak Kemena (KFA) di Pejabat BIFA di sini semalam.

Simbolik penyerahan piala pusingan disempurnakan Pengurus Kanan Operasi Lea Group of Companies, Poh Siok Hoon yang mewakili Pengarah Urusannya, Raymond Sim kepada Dr Rundi sebelum diserahkan kepada Duke.

Menurutnya, di luar negara pemain-pemain bola sepak merupakan golongan mampu memperolehi pendapatan tinggi dan mereka mengetahui cara bagaimana menjadi pemain berkaliber dengan mempunyai fizikal yang tegap dan mantap.

“Cristiano Ronaldo misalnya tidak berada di tempatnya sekarang melainkan dengan usaha kerasnya mencapai impian menjadi seorang pemain bola sepak yang baik dan sempurna,” jelasnya.

Katanya, banyak sukan lain juga boleh menyerlah kebolehan seseorang seperti atlet negeri ini, Pandelela Rinong menyerlah dalam acara sukan terjun di peringkat dunia.

Justeru, beliau yang juga penaung BiFA menggesa persatuan-persatuan bola sepak meningkatkan standard menyelenggara dan mencari bakat-bakat pelapis dengan mengambil contoh Bintulu sendiri satu ketika dahulu melahirkan seorang pemain berkaliber pakar lontaran jauh, Abdul Jalil Rambli.

“Tetapi, sekarang ini belum ada pemain pelapis seumpamanya dan usaha perlu giat dijalankan mencungkil bakatbakat yang ada lebih-lebih lagi skuad Sarawak pada masa kini masih terumbang-ambing,” katanya.

Jelasnya, kini banyak pasukan diketengahkan dan yang terbaik perlu dipilih dari bandar dan luar bandar untuk mewakili Bintulu.

Katanya, beliau percaya bahagian- bahagian lain juga sedang melakukan pendekatan yang sama memilih pasukan dan pemain-pemain terbaik peringkat bahagian masingmasing.

Beliau turut menghargai usaha-usaha BiFA yang aktif mencari bakat-bakat terpendam dari luar bandar selaras dengan hasrat memilih dan mengetengahkan pemainpemain secara adil antara bandar dan luar bandar negeri ini sekali gus mengingatkan mereka meningkatkan disiplin dan tidak berputus asa sekiranya tewas dalam sesuatu acara sukan.

Di samping itu, Dr Rundi turut menyarankan agar Bintulu mencipta ikon dalam bidang sukan supaya mampu menyerlah di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Apabila kita mampu melahir seorang ikon maka yang lain akan menyusul dan melihatnya sebagai contoh,” katanya.