Dua rumah, 10 deret gerai di Serikin musnah dalam kebakaran

0

KUCHING: Dua rumah dan 10 deret gerai jualan di Kampung Serikin, Bau dekat sini musnah dalam kebakaran pada malam kelmarin (Sabtu).

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata, pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bau tiba di lokasi kira-kira 23 minit selepas menerima panggilan kecemasan jam 9.15 malam.

Bagaimanapun katanya, apabila pasukan sampai sebuah rumah telah terbakar sebanyak 20 peratus manakala sebuah lagi rumah kedai terbakar 80 peratus.

Kebakaran itu turut merebak ke 10 deretan gerai menjual pelbagai barangan yang terletak di hadapan rumah terebut, katanya.

Beliau berkata, pasukan bomba dengan kekuatan empat anggota diketuai Francis Cotter mengambil masa kira-kira sejam untuk memadamkan kebakaran dan operasi ditamatkan pada jam 11.20 malam.

Turut hadir Pegawai Operasi Zon Azaharul Sahari dan Pegawai Kanan Christia Corrin Tagol.

Punca kejadian dan jumlah kejadian masih disiasat dan tidak ada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.