Hii: Belia perlu terlibat dalam sukan snuker

0

SIBU: Residen Bahagian Sibu, Hii Chang Kee berkata setiap usaha perlu dilakukan untuk membangunkan golongan belia dengan melibatkan diri dalam sukan seperti snuker.

Katanya, melalui penyertaan mereka dalam kejohanan itu akan membantu mereka lebih memahami dan menghargai erti persahabatan dan nilai-nilai kerja berpasukan.

“Kejohanan ini tepat pada masanya untuk mempromosi dan mempopularkan sukan snuker kalangan pemain muda” katanya pada Majlis Perasmian Kejohanan Tertutup Snuker Sarawak 2016 di sini malam kelmarin.

Seramai 56 pemain dari seluruh negeri mengambil bahagian pada kejohanan seminggu anjuran bersama Persekutuan Sukan Snuker dan Billiards (SBSSF) dan Sibu Executive 3 Snooker Centre.

Empat pemain akan dipilih untuk mewakili Sarawak bagi kejohanan snuker kebangsaan yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada tahun depan.

Hadir sama Naib Presiden SBSSF David Tan, ahli jawatankuasa Mark Yeo dan pengarah kejohanan, Danny Wong.

Melalui pertandingan itu, Hii berkata, ia merupakan peluang untuk mengenal pasti dan melatih pemain-pemain untuk cemerlang dalam sukan pilihan mereka.

Katanya, snuker adakan sukan global yang disertai berjuta-juta peminat seluruh dunia dan snuker juga menjadi sukan popular masyarakat kita terutamanya kalangan generasi muda.

Hii memberitahu, sukan snuker mendapat perspektif negatif umum kerana faktor persekitaran kurang teratur dan berpusat.

“Kita perlu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri menerusi Kementerian Kerajaan Tempatan atas inisiatif berpandangan jauh menyelaraskan dan menggalakkan sukan snuker di bawah SBSSF,” jelasnya.

Pada masa ini, katanya, pusat snuker dilesenkan oleh pihak berkuasa tempatan di kawasan pentadbiran masing- masing.