‘Saribas MTB XC Challenge’ bertaraf antarabangsa 2017

0

DEBAK: ‘Saribas MTB XC Challenge’ akan dijadikan acara bertaraf antarabangsa pada peringkat Bahagian Betong mulai tahun hadapan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata bagi tujuan itu beliau mencadangkan kepada Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan yang juga Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg agar memasukkan acara itu dalam kalendar pelancongan Sarawak.

Menurutnya, acara itu berpotensi dan setakat ini berjaya menarik penyertaan peserta dari luar negara seperti Brunei dan Indonesia walaupun dianjurkan pada skala besar di peringkat daerah.

Lebih membangga beliau acara itu didokong sepenuhnya oleh anak-anak tempatan dengan bantuan Persatuan Lumba Basikal Sarawak.

“Saya sudah mengarahkan Timbalan Residen Betong menaik taraf acara ini ke peringkat bahagian dan menubuhkan jawatankuasa teknikal.

“Saya mahu pengerusi penganjur sedia ada dikekalkan kerana beliau telah membuktikan kewibawaan serta bekerjasama dengan badan induk lumba basikal di Kuching,” katanya.

Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar itu berkata, kertas cadangan dibuat jawatankuasa penganjur disokong sepenuhnya oleh beliau.

Pada masa sama, beliau meminta penganjur menganjurkan suatu kejohanan lebih besar pada masa akan datang.

“Kalau tahun ini 100 peserta, tahun hadapan kita mahu 300 orang peserta dari seluruh Malaysia dan negara jiran menyertainya,” kata beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu turut mencadang agar acara berbasikal dan Saribas Trail Run dianjurkan meliputi Saribas, Hulu Paku dan Bukit Sadok.

“Kita sudah ada jalan pendakian untuk menaiki Bukit Sadok selepas ini kita akan bina laluan berbasikal untuk mendaki Bukit Sadok.

“Mungkin tahun hadapan terlalu awal mengadakan acara basikal lasak mendaki Bukit Sadok, oleh itu kita minta penganjur membuat kajian terperinci serta perancangan rapi,” katanya.

Menurut beliau, aktiviti sukan lasak serta pesta sukan berskala besar di luar bandar mampu menjana ekonomi penduduk disebabkan kuasa beli kalangan pelancong serta penggemar sukan menonton acara itu.

“Biarlah acara itu nanti meliputi golongan muda, kita mahu golongan muda mengisi masa dengan aktiviti sihat.

“Pada masa sama, diadakan acara untuk golongan berumur 60 tahun ke atas seperti kami pastikan ambulans sentiasa mengekori kami dari belakang,” kata beliau dalam nada berseloroh.