SPRM proaktif perangi gejala rasuah dengan perkasa aktiviti masyarakat

0

MELAKA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa bertindak proaktif dalam usaha memerangi gejala rasuah dengan memperkasakan aktiviti mesra rakyat dan mendekati pelbagai golongan masyarakat di negara ini.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Abdul Samat Kasah berkata suruhanjaya itu berperanan sebagai ‘payung’ kepada masyarakat dengan memberi pengetahuan mengenai jenayah itu secara komprehensif dan holistik bagi menjamin persekitaran yang lebih selesa dan kondusif.

Sehubungan itu, masyarakat perlu berganding bahu bersama-sama SPRM untuk membanteras jenayah itu bagi memastikan negara bebas daripada ancaman rasuah yang boleh menjejaskan imej negara.

“Dalam meniti perkembangan pesat dunia tanpa sempadan, mekanisme pencegahan rasuah turut melalui fasa perubahan. Kita tidak lagi hanya menunggu masyarakat menyalurkan maklumat atau datang membuat aduan kepada SPRM, sebaliknya kita turun padang bagi mendekati masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Mesra Rakyat ‘Melaka Car Free Zone’ di Bandar Hilir, di sini semalam yang turut dihadiri Pengarah SPRM Melaka Datuk Azmi Alias.

Pelbagai aktiviti diadakan sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa yang akan diadakan pada Jumaat depan (9 Disember) di sini berkonsepkan penjagaan kesihatan termasuk elemen pencegahan rasuah yang masyarakat berperanan sebagai mata dan telinga SPRM.

Abdul Samat berkata kerjasama, sokongan padu dan komitmen berterusan daripada masyarakat terhadap SPRM amat diharapkan dalam usaha memerangi jenayah rasuah di negara ini kerana membanteras gejala itu bukan sahaja terletak di bahu SPRM, bahkan ia merupakan tanggungjawab bersama.

“Oleh itu platform seumpama ini (mendekati rakyat) merupakan medium yang efektif kepada SPRM dalam memegang teraju pencegahan rasuah yang berkonsepkan mesra rakyat,” katanya.

Beliau berkata pelbagai inisiatif dan pendekatan perlu dirangka secara terancang dan komprehensif bagi memastikan SPRM sebagai organisasi yang mesra dan membela rakyat, namun dalam masa yang sama digeruni oleh perasuah. — Bernama