SUPP Cawangan Serian sudah bersedia hadapi PRU14

0

SERIAN: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Serian sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) terutama di kawasan Parlimen Serian.

Kawasan Parlimen Serian disandang selama enam penggal oleh Datuk Seri Richard Riot Jaem yang juga timbalan presiden SUPP dan akan dicalonkan semula pada PRU14 nanti.

Pada mesyuarat cawangan di Kampung Pichin di sini semalam, Riot yang juga Menteri Sumber Manusia mengumumkan nama 21 individu yang telah ditugaskan untuk memperkukuhkan parti di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri di bawah Parlimennya iaitu Tebedu, Kedup dan Bukit Semuja.

Limko Ales dan Edward Sayu telah diberi kepercayaan untuk mengetuai Tebedu, kawasan Kedup menyaksikan gandingan Entulus Janggeh dan Phillip Nora manakala Bukit Semuja akan diketuai Michael Megang dan Chai Kim Sin.

“Cawangan kita tidak mahu membuang sebarang masa lagi dalam membuat persiapan menghadapi PRU14 bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Serian.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah membayangkan bahawa PRU14 akan diadakan tidak lama lagi, jadi kita perlu menggerakkan jentera kita,” katanya.

Mengulas mengenai keputusannya untuk mempertahankan Serian pada PRU14, Riot percaya beliau dapat mencapai kemenangan besar bagi BN.

“Saya masih belum yakin untuk diganti kerana jika itu berlaku Serian mungkin akan kehilangan seorang menteri penuh.

“Apa yang saya mahu untuk Serian ialah untuk mempunyai seorang menteri penuh di peringkat persekutuan,” ujarnya.

Riot turut menggesa ahli SUPP agar mempromosikan latihan teknikal dan vokasional di kalangan lepasan sekolah tingkatan lima.

Katanya hanya mereka yang terlatih dalam bidang khusus akan lebih bersaing dalam pekerjaan apabla 1.5 juta pekerjaan disediakan oleh industri dalam negara pada 2020.

“Mereka yang mengharapkan pekerjaan dalam sektor kerajaan akan lebih kecewa kerana setiap pekerjaan yang diiklankan akan menerima 20,000 permohonan.

“Anda mempunyai peluang yang lebih baik dalam mendapatkan pekerjaan jika terlatih dalam bidang teknikal dan vokasional,” ujarnya.