Tangani persepsi negatif terhadap Islam, Malaysia tampil promosi kesederhanaan

0

AMMAN: Bagi menangani persepsi negatif terhadap Islam terutama yang berkaitan ekstremisme, Malaysia mengambil langkah awal untuk mempromosikan kesederhanaan dan memperjelaskan tentang keindahan Islam.

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Movement of Moderates Foundation (GMMF) Datuk Dr Nasharudin Mat Isa berkata sejak kebelakangan ini, banyak perkara berlaku yang memberi imej negatif terhadap Islam iaitu Islamofobia, dan kerana itulah Malaysia perlu memainkan peranan.

Katanya Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk mempromosikan kesederhanaan kerana model yang ada pada Malaysia agak unik.

“Banyak isu beri imej negatif terhadap Islam. Bermula dengan (militan) Taliban, Al Qaeda dan terkini Daesh. Kita di Malaysia dalam kedudukan amat baik untuk pamerkan wajah dan amalan Islam dalam bentuk praktikal berbanding negara-negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja ‘Memacu Pemikiran Moderat dan Naratif Balas Dalam Menangani Ekstremisme’ pada Seminar Menangani Keganasan Ekstremisme di University of Jordan di sini baru-baru ini.

Nasharudin berkata ancaman keganasan yang berlaku di dunia ketika ini adalah sesuatu yang nyata, bukan hanya teori, dan kerana itu pada 2010 Malaysia telah mengambil inisiatif untuk mempromosikan pendekatan kesederhanaan kepada dunia.

“Kita bukan mengaku kita yang terawal (melaksanakan inisiatif kesederhanaan) tetapi bezanya kita dengan institusi yang lebih awal adalah kita nak jadikannya gerakan global. Dunia barat harus mengalih pandangan berkaitan Islam ke ‘dunia lain’ dan bukan hanya kepada dunia Arab.

“Ketika ini persepi barat, Islam adalah Arab dan Arab adalah Islam. Ini tidak betul, Islam bukan milik Arab dan orang Arab bukan semua muslim. Kalau nak tengok Islam, tengok ke dunia ‘sebelah sana’. Negara paling ramai muslim di dunia adalah Indonesia. Di China pula ada 50 hingga 60 juta orang Islam,” katanya.

Di pihak GMMF, beliau berkata gerakan itu telah melaksanakan pelbagai program bagi mempromosikan kesederhanaan bukan saja di dalam negara tetapi juga di peringkat global dengan memberi fokus kepada banyak aspek, dan bukan hanya aspek agama.

Nasharudin berkata GMMF telah menganjurkan banyak persidangan, terkini adalah Seminar Antarabangsa Peranan Islam Dalam Keamanan Dunia pada 6 dan 7 Dis di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Program ini kerjasama GMMF dengan UKM. Kita panggil penceramah seperti dari Indonesia, Thailand, Filipina, Amerika Syarikat dan Singapura,” katanya.     Beliau berkata GMMF juga akan mewujudkan kerjasama dengan International Forum Moderation di sini, sebuah pertubuhan sebagaimana GMMF di Jordan dan satu persidangan anjuran bersama akan diadakan pada Mei atau Jun tahun depan di sini.

Nasharudin berkata GMMF juga akan meneruskan perbincangan meja bulat melibatkan negara anggota ASEAN yang telah bermula di Singapura pada Julai tahun lalu, dan kemudian di Laos beberapa bulan lepas, dengan yang ketiga akan diadakan di Filipina tahun depan, diikuti Kemboja dan negara-negara lain selepas itu.

“Kita juga adakan ‘distinguished lectures’ di mana kita panggil orang yang ada nama untuk bagi ceramah. — Bernama