Angkara tayar pecah

0

Suri rumah maut, dua lagi cedera apabila kenderaan dinaiki terbabas.

TERBABAS: Keadaan kenderaan pacuan empat roda itu selepas terbabas ke dalam parit di kawasan Skrang, kelmarin.

TERBABAS: Keadaan kenderaan pacuan empat roda itu selepas terbabas ke dalam parit di kawasan Skrang, kelmarin.

// Oleh Sandy Mark Luna //

BETONG: Seorang suri rumah maut manakala dua lagi cedera apabila kenderaan jenis pacuan empat roda dinaiki terbabas di Kilometer 52, Jalan Sri Aman-Sarikei, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Mangsa, Masnah Johari, 57 dari Tanjung Kidurong, Bintulu yang merupakan penumpang hadapan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Betong.

Suaminya yang berusia 57 tahun dikatakan patah bahu kiri dan cedera di dahi manakala cucu perempuannya yang berusia enam tahun cedera di bahagian kaki.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak ASP Mathew Manggie berkata, dalam insiden sekitar jam 1.30 pagi itu, tiga sekeluarga dalam perjalanan menuju ke arah Serian apabila tayar belakang kereta pecah.

“Ketika melalui KM52 kawasan Skrang Sri Aman, tayar bahagian belakang sebelah kanan kereta telah pecah lalu mengakibatkan kereta itu berpusing masuk ke laluan bertentangan sebelum masuk semula ke haluannya lalu terbabas ke dalam parit di bahu kiri jalan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mathew berkata, ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Betong dengan menggunakan ambulans bagi menerima rawatan lanjut.

“Semasa rawatan di Wad Kecemasan Hospital Betong, penumpang depan telah disahkan meninggal dunia.

“Manakala pemandu dan penumpang belakang dirujuk ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut,” katanya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh Inspektor Mahadir Samah.

ROSAK: Kenderaan berkenaan ditarik dan ditunda oleh lori penunda.

ROSAK: Kenderaan berkenaan ditarik dan ditunda oleh lori penunda.