Doktor pakar lepas tuduhan elak bayar cukai

0

KUCHING: Mahkamah Majistret Kuala Lumpur melepaskan tanpa dibebaskan seorang doktor pakar di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur baru-baru ini atas lima pertuduhan mengelak membayar cukai pendapatan lebih RM6.5 juta.

Leftenan Kolonel (B) Datuk Dr Lee Chiang Heng, 57, dilepaskan dari tuduhan tersebut pada 28 Oktober lepas, dan pihak-pihak yang terbabit mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah.

Kes tersebut membabitkan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai pihak pendakwa.

Laporan Bernama menyebut pada 8 Ogos lepas, Dr Lee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Dia didakwa secara sengaja dan dengan niat untuk mengelak cukai pendapatan daripada perniagaan klinik dan perkhidmatan hospital swasta berkenaan keseluruhannya berjumlah RM25,063,265.00 yang sepatutnya dimasukkan dalam Borang Nyata 2007, 2008, 2009, 2010 yang menyebabkan cukai terkurang sebanyak RM6,567,992.59.

“Saya harap berita ini (disiar pada 9 Ogos) tidak digunakan oleh firma perakaunan untuk iklan,” kata Dr Lee ketika dihubungi semalam.

 

Sila rujuk: Doktor pakar didakwa elak bayar cukai lebih RM6.5 juta