Kenal pasti potensi, kemahiran dalam diri: Hasidah

0

Potensi yang telah dikenal pasti tidak seharusnya dibuang dan dibiarkan tidak berkembang

// Oleh Siti Aisyah Ramli //

KENANGAN: Hasidah (duduk, tengah) merakam kenangan bersama barisan moderator dan peserta Seminar Kepimpinan Belia 2016: Pemerkasaan Belia Melalui Perkongsian Maklumat di Kuching, semalam.

KENANGAN: Hasidah (duduk, tengah) merakam kenangan bersama barisan moderator dan peserta Seminar Kepimpinan Belia 2016: Pemerkasaan Belia Melalui Perkongsian Maklumat di Kuching, semalam.

KUCHING: Golongan belia hari ini perlu mengenal pasti potensi serta kemahiran yang ada dalam diri masing-masing seterusnya mengasahnya ke arah pembangunan kendiri.

Menjelaskan perkara itu, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali selain itu berkata, potensi serta kemahiran yang telah dikenal pasti tidak seharusnya dibuang dan dibiarkan tidak berkembang.

Katanya adalah wajar bagi golongan belia untuk menyertai sebarang bentuk program atau aktiviti berunsur pembangunan modal insan yang dianjur bertujuan menggilap potensi diri ke arah yang lebih baik.

Demikian katanya, ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Seminar Kepimpinan Belia 2016: Pemerkasaan Belia Melalui Perkongsian Maklumat di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

“Justeru saya amat menyambut baik penganjuran program, seminar dan aktiviti seumpama ini kerana saya rasakan program seperti ini menjadi platform terbaik kepada kumpulan sasar iaitu belia untuk belajar berinteraksi sesama belia dalam mengenali potensi dan kemahiran yang ada dalam diri masing-masing.

“Harus diketahui, belia kita bukan datang dalam satu kelompok sahaja, ia ada banyak kelompok seperti belia usahawan, belia sukan, belia nyanyian, belia keciciran dalam pendidikan dan banyak lagi.

“Dengan adanya program seumpama ini pada masa akan datang, saya berharap ia dapat meliputi segenap kelompok belia yang ada di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang itu turut menjelaskan kebimbangan kerajaan terhadap pembangkitan isu-isu sosial yang dilaporkan melibatkan anak-anak remaja dan belia.

Beliau percaya, isu tersebut timbul ekoran belia hari ini lebih gemar terikut-ikut dengan budaya barat seterusnya melupakan elemen ketimuran yang seharusnya dikekalkan.

“Kehamilan remaja, penyalahgunaan dadah, kes buang bayi, vandalisme dan banyak lagi, ini semua sangat merunsingkan.

“Kerajaan juga telah memperuntukkan banyak duit untuk menganjurkan seminar, program dan aktiviti pembasmian gejala sosial dalam kalangan belia kerana belia adalah tunjang dan harapan pembangunan negara khasnya, pada masa akan datang,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hasidah turut menyeru kerjasama daripada semua belia agar menjadi mata dan telinga kerajaan di samping menunjukkan keprihatinan dengan masalah sosial yang berlaku masa kini.

Seminar Kepimpinan Belia 2016: Pemerkasaan Belia Melalui Perkongsian Maklumat itu dihadiri kira-kira 300 peserta dalam kalangan persatuan gereja, HIKMAH, SABERKAS, Persatuan Budha dan agensi kerajaan.

Dianjurkan oleh Kementerian Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, seminar itu telah mengupas pelbagai isu yang sering diperkatakan melibatkan belia, antaranya isu penagihan dadah, situasi kehamilan remaja, kesihatan, bankrap pada usia muda, kehendak remaja belia dan banyak lagi.