Larian Jambatan Batang Sadong pada 11 Dis ini

0

KUCHING: Acara Larian Jambatan Batang Sadong buat julung kalinya bakal berlangsung pada 11 Disember ini di Sadong Jaya dekat sini.

Berbanding acara larian lain yang kerap dianjurkan di bandar-bandar, larian Jambatan Batang Sadong merupakan yang pertama diadakan di luar bandar.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri berkata ini merupakan larian pertama merentasi jambatan sungai terpanjang di Sarawak.

Katanya, acara larian ini perlu dipromosikan agar masyarakat tahu akan kewujudannya fasiliti ini di Sarawak.

“Setakat hari ini (semalam) seramai 1,652 peserta telah mendaftar bagi larian ini dan kita menyasarkan 2,000 peserta akan menyertai larian unik ini.

“Larian ini tidak terhad hanya terhad kepada penduduk tempatan tetapi juga peserta luar dan dua peserta antarabangsa dari Jepun telah mengesahkan penyertaan.

“Kuching sahaja, mereka telah meminta sebanyak 1,000 borang penyertaan dan setakat ini 600 lebih peserta dari Kuching telah mendaftar,” katanya pada sidang media bagi mempromosikan larian itu di Bilik Tetamu Kenamaan (VVIP), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, bagi menambahkan keunikan acara larian ini persembahan kebudayan akan diadakan pada sebelah malam sebelum hari larian.

Peserta luar yang memilih untuk datang awal dan bermalam di sini akan ditempatkan di rumah-rumah panjang di Sadong Jaya.

Katanya, larian itu dibahagi kepada dua kategori iaitu 5 kilometer (km) dan 10km bermula dan tamat di SK Sungai Bulu.

“Kita berharap pada masa akan datang bermula tahun depan acara larian ini akan dijadikan sebagai acara tahunan dalam kalendar pelancongan Sarawak dan Malaysia,” tambahnya.

Dalam pada itu, yuran pendaftaran adalah RM50 bagi peserta luar dari Batang Sadong dan RM25 bagi penduduk tempatan.

Borang pendaftaran boleh didapati dari Green Brooke Height Mall Kuching, Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya, Pejabat Daerah Asajaya, Pejabat Daerah Simunjan dan wakil-wakil sekretariat yang dilantik mengikut zon.

Sepuluh peserta teratas bagi kategori 10km lelaki dan wanita akan menerima hadiah dan pemenang tempat pertama menerima hadiah wang tunai RM500 dan medal.

Manakala lain-lain peserta termasuk bagi kategori 5km akan berpeluang untuk menyertai cabutan bertuah.