MUFFA FC juara sulung KSRRSK (KFL) 2016

0

KUCHING: Hasrat FC Enumerators menjulang kejuaraan sulung KSRRSK Friendly League (KFL) 2016 tidak kesampaian apabila tewas tipis 1-0 kepada MUFFA FC pada saingan akhir di Padang HDC, Kampung Tunku di sini kelmarin.

Skuad bimbingan Awang Halim Awang Arabi itu hanya memerlukan sekurangkurangnya satu mata untuk kekal selaku pendahalu liga untuk muncul juara.

Bagaimanapun, semangat melawan yang ditunjuk pasukan MUFFA sepanjang saingan akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya mencipta kemenangan sekali gus mengutip tiga mata berharga.

Kemenangan dramatik itu membolehkan MUFFA meraih 17 mata memintas FC Enumerators yang pada mulanya gah di persada liga dengan 16 mata.

Perhitungan terakhir itu ternyata berlangsung sengit setelah kedua-dua pasukan isaling berbalas serangan bagi memburu kemenangan.

Namun, kejayaan memihak kepada MUFFA membuktikan kebangkitan skuad tersebut pada kempen KFL 2016 setelah mengekori rapat pencabarnya sepanjang kempen liga tersebut.

FC Enumerators sepatutnya terlebih dahulu berada di depan namun cubaan pembuka tirai jaringan menerusi Mohd Hisyam hanya menggegar gawang MUFFA pada babak pertama.

Keputusan terikat tanpa jaringan kekal sehingga tamat separuh masa pertama selepas kedua-dua pasukan lebih berhati-hati melancarkan serangan.

Bersambung babak kedua, MUFFA mula menggandakan asakan ke kubu pertahanan FC Enumerators bagi memburu gol awal.

Ternyata usaha keras mereka berbaloi apabila bekas bintang Sarawak, Sufizal Ismail meledakkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-54.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat masa perlawanan menyaksikan MUFFA melangkah bergaya menjulang trofi kejohanan selain membawa pulang habuan wang tunai RM3,500.

Sementara FC Enumerators akur di tempat kedua dengan membawa pulang piala naib juara dan wang tunai RM1,500 manakala DJB FT menamatkan saingan KFL 2016 di tempat ketiga.

Pemain FC Quaquero, Ahmad Azlan Khan dinobatkan sebagai penjaring terbanyak dengan 10 gol manakala Pemain Terbaik dimenangi Mohd Shariee Shukran (SIFT).

Difahamkan KSRRSK H2 Sports Cup akan membuka tirai saingan pada 10 Disember ini dan semua pasukan berentap pada KFL 2016 beraksi pada kejohanan tersebut di peringkat suku akhir.