Waspada jangkitan HIV

0

Jangkitan kes baharu kini melibatkan golongan muda

AKTIF: Zaiton bersama AJK pelaksana majlis, sukarelawan dan ahli SAGA.

AKTIF: Zaiton bersama AJK pelaksana majlis, sukarelawan dan ahli SAGA.

SANDAKAN: Orang ramai perlu sentiasa berwaspada dengan jangkitan HIV kerana jangkitan kes baharu adalah dalam kalangan yang masih muda iaitu antara 20 dan 40 tahun.

Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Hamsan Awang Supain berkata, jangkitan HIV mula dikesan di negara ini sejak tahun 1986 dengan jumlah sehingga akhir tahun 2015 lebih daripada 100,000 jangkitan.

Beliau berkata dalam tempoh 15 tahun lalu, 90 peratus jangkitan adalah kalangan lelaki dengan nisbah daripada 10 lelaki dan seorang wanita dijangkiti.

Manakala sekarang, trendnya adalah dengan nisbah 4:1 iaitu dalam empat lelaki yang dijangkiti, terdapat seorang wanita dijangkiti terutama kalangan suri rumah.

“Sementara Aids pula menjadi 10 penyebab utama kematian untuk golongan muda,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Aids Sedunia dan Makan Malam Gala Saga, di sini, malam Sabtu lalu.

Hadir sama, Presiden Sandakan Aids Support Group (SAGA) Dr Zaiton Yahaya dan Pengerusi Kesihatan Awam MPS yang juga Ahli Majlis Lily Aw (JP).

Tema sambutan Hari Aids Sedunia pada tahun ini ialah ‘Ending AIDS: Continue Commitment, Intensify Efforts, Hands Up for HIV Prevention’ (Teruskan Komitmen, Tingkatkan Usaha, Kukuhkan Pencegahan HIV).

Pada majlis ‘tiga dalam satu’ itu, Sambutan Hari Aids Sedunia Peringkat Sandakan, Sambutan Ulangtahun Ke-8 SAGA dan anugerah kepada yang banyak berjasa – Hamsan dan Zaiton serta jemputan lain turut menyampaikan anugerah dan penghargaan kepada sukarelawan dan ahli SAGA serta orang awam yang banyak berjasa kepada SAGA.

Sementara itu, Hamsan berkata, jangkitan HIV di Sabah adalah rendah jika dibandingkan dengan negeri lain seperti Johor, Kelantan dan Selangor.

Bagaimanapun katanya, bagi bilangan kes baharu, Sabah mencatatkan jangkitan yang meningkat.

Menurutnya 90 peratus jangkitan di Sabah adalah melalui hubungan seksual dan 60 peratus kes positif dalam kalangan wanita. Malah, Sandakan merupakan salah satu daripada tiga daerah jangkitan tertinggi di Sabah.

Jelasnya penyakit HIV adalah satu penyakit yang digeruni orang kerana stigma dan sebaliknya. Penghidap HIV juga boleh berasa diri terpinggir kerana masyarakat masih belum boleh bersikap terbuka.

Dalam perkembangan sama, Hamsan menasihati semua pasangan suami isteri, ibu bapa dan sesiapa sahaja menyayangi diri dan keluarga serta rakan-rakan mereka dengan menghindari gaya hidup yang tidak sihat.

Manakala bagi belia pula, beliau berharap mereka juga tidak mendekati aktiviti tidak berfaedah seperti budaya lepak, mengambil dadah dan melakukan hubungan rambang yang memberi kesan negatif kepada mereka.

“Kefahaman berkenaan HIV/Aids sahaja tidak cukup. Sebaliknya, terus amalkan gaya hidup yang sihat dan hindari aktiviti-aktiviti negatif dan merosakkan diri sendiri,” katanya.

Tambahnya, pengesanan awal juga penting sekali gus mampu menyelamatkan nyawa.

Sementara itu, Hamsan memuji usaha SAGA, sebuah badan bukan kerajaan yang bergiat aktif dalam memberi kesedaran kepada umum berkenaan HIV/Aids menerusi aktiviti turun padang dan pelbagai program kemasyarakatan yang juga mendapat kerjasama baik kalangan masyarakat awam, individu serta pihak yang prihatin dan pejabat kesihatan kawasan di sini.

Terdahulu, Zaiton merakam ucapan terima kasih kepada semua yang menjayakan majlis itu termasuk ahli SAGA, sukarelawan SAGA, individu dan dermawan serta hadirin yang banyak membantu SAGA sejak ia ditubuhkan lapan tahun lalu di daerah ini.

Katanya SAGA akan terus berusaha memberi kesedaran kepada umum berkenaan HIV/Aids.