PERKESO serah tiga mesin hemodialisis baharu kepada HDOK Sandakan

0
LAWAT: Nik Amsharija (kiri) dan Francis membuat lawatan di Unit Hemodialisis HDOK Sandakan.

LAWAT: Nik Amsharija (kiri) dan Francis membuat lawatan di Unit Hemodialisis HDOK Sandakan.

SANDAKAN: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) amat komited dalam memastikan orang berinsurans (OB) dengan PERKESO mendapat rawatan dialisis yang diperlukan dan berkualiti, kata Ketua Eksekutifnya Datuk Dr Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed.

Beliau berkata PERKESO di bawah Kementerian Sumber Manusia juga sentiasa mengambil perhatian masalah peningkatan pesakit buah pinggang kronik di negara ini khususnya yang melibatkan pekerja.

Katanya berdasarkan statistik, purata peningkatan bilangan OB yang menerima kemudahan bantuan dialisis daripada PERKESO adalah pada kadar 18 peratus setahun.

“Peningkatan peratusan itu juga membimbangkan PERKESO kerana implikasinya bukan sahaja mengakibatkan OB kehilangan pekerjaan dan pendapatannya berkurangan, bahkan juga menyebabkan keluarga pekerja berkenaan hilang tempat bergantung,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Tiga Mesin Hemodialisis Baharu daripada PERKESO kepada Pusat Hemodialisis Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan, di sini, kelmarin.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengurus Besar Cawangan Perubatan dan Pemulihan PERKESO Datin Dr Nik Amsharija Mohamed.

Hadir sama, Pengarah Hospital berkenaan Dr Francis Paul, ahli Panel PERKESO Sandakan dan warga unit itu serta kakitangan PERKESO. Tiga unit mesin hemodialisis berkenaan bernilai RM120,000.

Melalui penjenamaan baharu ‘Perkeso Prihatin Melangkaui Ekspektasi, Kesejahteraan Pelanggan Keutamaan Kami’, beliau berkata PERKESO juga telah melebarkan program pendermaan mesin dengan mendermakan tiga mesin itu kepada HDOK Sandakan bagi menampung kadar peningkatan pesakit yang menghidap penyakit buah pinggang dan seterusnya meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kepada pesakit khususnya OB PERKESO di Sandakan.

Mohammed berkata, di samping memberi kemudahan hemodialisis kepada OB yang menghidap End Stage Renal Failure (ESRF) dan membantu meringankan beban ahli keluarga mereka, PERKESO juga telah melaksanakan program penyerahan mesin hemodialisis kepada pusat dialisis panel badan bukan kerajaan (NGO) dan hospital kerajaan bagi membolehkan OB mendapat rawatan dialisis yang diperlukan.

Katanya penyerahan mesin kepada hospital kerajaan itu juga merupakan satu usaha strategik jalinan kerjasama antara Kementerian Sumber Manusia melalui PERKESO dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam meningkatkan kualiti kemudahan dialisis kepada pesakit dialisis di seluruh negara khususnya kepada OB Perkeso.

Berdasarkan statistik, seramai 13,483 OB Perkeso sedang menerima kemudahan bantuan dialisis yang merupakan satu pertiga daripada keseluruhan pesakit yang mendapat rawatan diseluruh negara. Daripada jumlah itu, seramai 274 OB Perkeso dari Sabah.

Manakala bagi OB yang mendapat rawatan di hospital kerajaan, statistik menunjukkan seramai 1,016 OB Perkeso mendapat rawatan dialisis di 132 hospital kerajaan di seluruh negara.

Sabah merupakan negeri yang mempunyai bilangan tertinggi OB yang mendapat rawatan di hospital kerajaan dengan 185 orang berbanding negeri yang lain.

Berkenaan pembiayaan kemudahan hemodialisis itu, Mohammed berkata pada tahun lepas, Perkeso telah membelanjakan sejumlah RM165 juta bagi membiayai kemudahan itu yang memperlihat peningkatan sebanyak 4.4 peratus berbanding 2014 dengan RM158.1 juta.

Bagi Sabah pula, perbelanjaan dialisis untuk tempoh Januari hingga November 2016 adalah RM1.36 juta di mana daripada jumlah itu, sebanyak RM343,915 dibelanjakan untuk kos rawatan dialisis OB di hospital kerajaan.

Sejak tahun 2012, Perkeso telah melaksanakan penyerahan mesin hemodialisis kepada hospital kerajaan bermula di Hospital Muadzam Shah, Hospital Bentong, Hospital Serian, Hospital Kudat, Hospital Sungai Buloh, Hospital Langkawi dan Hospital Sarikei, bagi meningkatkan perkhidmatan rawatan dialisis yang diperlukan OB Perkeso di daerah berkenaan.

Untuk rekod, sehingga Oktober tahun ini, sebanyak 515 mesin hemodialisis dengan kos RM21.01 juta juga telah dibelanjakan untuk pendermaan mesin hemodialisis kepada pusat panel NGO dan hospital kerajaan sejak program itu dilancarkan Perkeso pada tahun 1999.

Terdahulu, mewakili pesakit dan pihak hospital, Francis menyambut baik usaha Perkeso itu khususnya dalam membantu pesakit yang memerlukan.

Ketika ini, unit itu mempunyai 20 mesin hemodialisis dan dengan tambahan tiga mesin baharu itu menjadikan 23 kesemuanya.