Sarawak tawar studio semula jadi untuk terbit filem

0

Miri kaya alam semula jadi boleh dijadikan latar belakang sebagai tarikan penonton: Abang Johari

// Oleh Sudan Ajang //

PENGHARGAAN: Presiden Global Business Club (China) Chen Yu He menyampaikan cenderamata kepada Abang Johari. Kelihatan sama (dari tiga kiri) Adam, Lee dan Sebastian (dua kanan).

PENGHARGAAN: Presiden Global Business Club (China) Chen Yu He menyampaikan cenderamata kepada Abang Johari. Kelihatan sama (dari tiga kiri) Adam, Lee dan Sebastian (dua kanan).

MIRI: Sarawak menawarkan studio semula jadi kepada penggiat filem tempatan dan antarabangsa untuk menerbitkan filem di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak khususnya Miri begitu kaya dengan keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara seperti Taman Negara Gunung Mulu dan pesisir pantai yang indah.

Katanya, lokasi seumpama ini mampu menambah daya tarikan latar belakang sesuatu filem sekali gus menarik penonton untuk menonton filem tersebut.

“Baru-baru ini saya melawat studio perfileman Bollywood di India. Saya dapati studio mereka kecil kerana ruangan yang ada di Mumbai semakin terhad.

“Justeru, saya yakin Sarawak dapat menawarkan studio semula jadi yang unik pada masa sama masih mengekalkan keindahan alam semula jadi selain pelakon berbakat,” katanya semasa perasmian penggambaran filem ‘Blue Tears’ di Miri Marriot Resort and Spa (MMRS) di sini semalam.

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan Datuk Lee Kim Shin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting dan Datuk Bandar Miri Adam Yii.

Filem ‘Blue Tears’ merupakan filem ‘online’ pertama kerjasama China dan Malaysia yang mengisahkan hubungan cinta antara pemuda dari negara itu dengan gadis peribumi di sini.

Penggambaran filem berdurasi 100 minit itu akan dilakukan di pantai Tusan di Bekenu, Lambir dan Mulu.

“Miri juga kaya dengan keunikan pelbagai kaum seperti Cina, Melayu dan peribumi. Sekiranya kita gandingkan semua elemen ini, saya yakin kita mampu menghasilkan filem rentas sempadan sekali gus mempromosikan keamanan secara global,” kata Abang Johari.

Ujarnya, ‘Blue Tears’ melambangkan kerjasama antara China dan Malaysia khususnya Miri yang dizahirkan melalui perhubungan romantis.

Dalam perkembangan berkaitan, sektor pelancongan merupakan penyumbang sumber pendapatan negeri sebanyak 15 peratus iaitu ketiga terbesar sumber pendapatan negeri.

Beliau berharap filem itu dapat menarik lebih ramai pelancong dari tanah besar China termasuk Kanada khususnya Vancouver dan Australia yang merupakan negara paling ramai rakyat China berhijrah.