83 saman dikeluar terhadap pemandu lori atas pelbagai kesalahan lalu lintas

0
SUKAT: Dua anggota JPJ sedang memeriksa sebuah lori di salah satu lokasi operasi di sepanjang laluan Pan Borneo.

SUKAT: Dua anggota JPJ sedang memeriksa sebuah lori di salah satu lokasi operasi di sepanjang laluan Pan Borneo.

SIBU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 83 saman terhadap pemandu lori kerana pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk membawa muatan secara berlebihan antara 29 November dan 2 Disember lalu.

Penolong Pengarah JPJ Negeri (Penguatkuasaan) Albert Clement berkata, operasi empat hari diadakan di beberapa lokasi laluan Pan Borneo termasuk Bintulu, Mukah, Sibu, Sarikei, Betong, Sri Aman, Serian dan Kuching.

“Lapan puluh tiga saman dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan dan daripada jumlah itu, sebanyak 45 (saman) kerana membawa muatan secara berlebihan dan berbahaya,” katanya kepada pemberita.

Albert berkata, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 19 (1) (b) muatan yang berlebihan – Akta Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987, di mana pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM10,000, selain Peraturan 92 ( 1) di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, pesalah juga boleh dikenakan kompaun maksimum RM300.

Beralih kepada kesalahan membawa muatan secara berbahaya, Albert berkata pesalah boleh didakwa di bawah Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan yang mana kompaun maksimum adalah RM300.

Beliau menjelaskan, membawa muatan berbahaya merupakan beban yang terkeluar dari belakang atau tepi kenderaan atau disusun terlalu tinggi.

Dalam perkembangan lain, Albert mengingatkan tindakan juga akan diambil terhadap kenderaan perdagangan termasuk bas yang tidak mempunyai pelekat reflektif SIRIM di belakang dan sisi kenderaan mulai 1 Januari 2017.

Beliau menegaskan masa yang mencukupi telah diberikan kepada pengusaha kenderaan untuk mematuhi arahan tersebut.

“Adalah dimaklumkan bahawa pelaksanaan dan penguatkuasaan ke atas pelekat reflektif pada setiap kenderaan perdagangan akan bermula pada 1 Januari depan,” katanya.

Menurut Albert, pelekat baharu itu hendaklah mematuhi Malaysia Standard MS 828: 2011 dan diiktiraf SIRIM QAS International.

Tambah beliau, adalah penting bagi kenderaan perdagangan memasang pelekat SIRIM berkenaan untuk mengelak kemalangan seperti rempuhan dari belakang.

Kegagalan berbuat demikian, katanya, boleh didenda mengikut Kaedah-Kaedah 9A (1) Pembinaan dan penggunaan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika didapati bersalah, boleh dikenakan kompaun (maksimum) RM300 atau denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan.