9 wanita asing termasuk ‘ibu ayam’ dicekup

0

Kesemua suspek disyaki terlibat pelacuran, lima lelaki warga tempatan turut ditahan

// Oleh Rosemaria Buma //

MIRI: Sembilan wanita warga asing termasuk seorang ‘ibu ayam’ disyaki terlibat dalam kegiatan pelacuran diberkas polis hasil serbuan di sebuah pusat refleksologi di Pusat Komersil Pelita, di sini petang kelmarin.

Turut ditahan lima lelaki warga tempatan berusia antara 18 hingga 24 tahun yang merupakan pelanggan.

Berikutan itu, semua suspek dan lima orang pelanggan terbabit kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk soal siasat lanjut.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Khoo Leng Huat berkata bertindak atas maklumat sepasukan polis Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak membuat serbuan ke sebuah pusat refleksologi yang terletak di tingkat satu sebuah bangunan Pusat Komersil Pelita di sini.

Dalam serbuan jam 6.40 petang itu, polis melakukan pemeriksaan setiap bilik di premis terbabit dan menahan beberapa orang wanita sedang cuba memakai baju bersama pelanggan masing-masing.

Semasa serbuan, polis menahan sembilan wanita warga asing berusia antara 21 hingga 42 tahun.

“Suspek pertama ditahan di bawah Seksyen 373 (1) (b) Kanun Keseksaan kerana dipercayai ibu ayam.

“Manakala lapan lagi ditahan mengikut Seksyen 372B kanun sama kerana menjalankan kegiatan pelacuran dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Dalam serbuan sama, polis turut merampas sebuah buku tercatit jumlah wang disyaki hasil pelacuran di kaunter, wang tunai RM750 dan beberapa kondom dijadikan barang kes.

Hasil siasatan awal pelanggan mengesahkan bahawa berlaku penawaran perkhidmatan seks di pusat berkenaan.

Sementara itu, lima pelanggan ditahan kemudian dibebaskan setelah proses dokumentasi dibuat.