Aktiviti sukarelawan perlu diperkasa kepada kanak-kanak

0
DIALOG: Jainab menyerahkan sijil penghargaan kepada salah seorang peserta pada program dialog berkenaan.

DIALOG: Jainab menyerahkan sijil penghargaan kepada salah seorang peserta pada program dialog berkenaan.

SEPANGGAR: Sudah tiba masanya aktiviti sukarelawan diperkasakan kepada golongan kanak-kanak dalam usaha membantu masyarakat untuk lebih peka terhadap masalah yang wujud di sekitar kediaman masing-masing.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, sebagai contohnya kanak-kanak boleh diberikan pendedahan terhadap punca faktor kebakaran.

“Pelbagai pendekatan boleh diambil dan salah satunya memberikan kanak-kanak kuiz untuk melahirkan kesedaran itu dalam kalangan mereka.

“Sekiranya pemerkasaan sukarelawan ini berjaya, maka banyak masalah yang wujud dalam kalangan masyarakat dapat diatasi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan program kesukarelawan dan kesedaran awam di sini, kelmarin.

Dalam ucapannya, Jainab menjelaskan bahawa pendedahan awal berhubung kesedaran keselamatan kebakaran di tempat kediaman dan premis masing-masing membolehkan setiap individu mengambil tindakan proaktif bagi melindungi nyawa dan harta benda.

Katanya bangunan seperti rumah tidak akan terbakar dengan sendirinya sebaliknya berlaku dan merebak disebabkan kelalaian dan salah laku penghuni bangunan berkenaan.

“Selain itu, semua pihak perlu sedar bahawa keselamatan dan kebersihan juga menjadi tanggungjawab bersama.

“Masyarakat perlu mengamalkan budaya penyelenggaraan berhubung dengan keselamatan dan kebersihan bermula di rumah masing-masing,” katanya.

Jainab berkata semua pihak perlu mengenal pasti kemungkinan wujudnya risiko di persekitaran dan mengawalnya dari menjadi punca bencana.

Menurutnya faktor keselamatan itu perlu dipandang serius untuk mengelakkan berlakunya bencana yang boleh mengorbankan nyawa dan juga kemusnahan harta benda.

“Saya juga menyeru semua lapisan masyarakat tidak kira latar belakang pekerjaan atau umur untuk menanamkan sifat sukarelawan dalam diri masing-masing.

“Semangat kesukarelawan ini penting bagi kita saling rasa bertanggungjawab terhadap satu sama lain,” katanya.