Berlumuran darah atas ‘awning’

0

// Oleh Mastura Ismail //

BANTU: Mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

BANTU: Mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

BELUM AJAL: Mangsa ditemui cedera di atas ‘awning’ bangunan dua tingkat di Limbang.

BELUM AJAL: Mangsa ditemui cedera di atas ‘awning’ bangunan dua tingkat di Limbang.

LIMBANG: Seorang tukang masak warga asing ditemui terbaring berlumuran darah dengan kesan tikaman di atas ‘awning’ sebuah bangunan di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata, mangsa yang lengkap berpakaian kemeja dan berseluar jeans ditemui sekitar jam 6 pagi dengan kesan dua tikaman di bahagian dada.

“Mangsa dipercayai cuba menyelamatkan diri daripada diserang lelaki yang dikenalinya dengan terjun dari bangunan tersebut.

“Bagaimanapun, polis berjaya menyelamatkan mangsa dari terjun bangunan berkenaan dengan bantuan anggota bomba,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jelas Mohd Bukhori lagi, sehingga petang semalam, mangsa masih tidak sedarkan diri dan motif kejadian masih dalam siasatan.

Mangsa, katanya, juga telah dibawa ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kita akan cuba menemu bual mangsa, sebaik mangsa selesai menjalani rawatan di Hospital Miri,” katanya.

Menurut saksi, mangsa dipercayai hendak terjun dari tingkat dua bangunan berkenaan untuk menyelamatkan diri selepas diserang individu dikenali.

Mangsa, menurut mereka lagi, berjaya diselamatkan anggota polis dan bomba yang mengangkatnya dari tingkat dua bangunan itu untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang Tawang Lingem berkata seramai lapan anggota bergegas ke tempat kejadian yang jauhnya dua kilometer sebaik menerima panggilan pada jam 6.56 pagi semalam.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa yang mengalami kecederaan berjaya diselamatkan anggota polis.

“Kita juga membantu mengangkat mangsa dari tingkat dua untuk mendapatkan rawatan ke hospital,” katanya lagi.