Najib rasmi Jambatan Batang Sadong, 18 Dis

0

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan Jambatan Batang Sadong yang bernilai RM211 juta pada 18 Disember ini.

Menurut kenyataan daripada Unit Protokol dan Perhubungan Awam Negeri (UPPAN), Pejabat Ketua Menteri, jambatan terpanjang merentasi sungai di Malaysia itu telah disiapkan pada Oktober tahun ini selepas pembinaan dimulakan pada Julai 2012.

Jambatan sepanjang 1.48 kilometer merentasi Sungai Sadong di kawasan Parlimen Batang Sadong itu dikatakan mengurangkan masa perjalanan dari Kuching ke Sibu sebanyak tiga jam daripada lapan jam.

Apabila tiba di tapak, Perdana Menteri akan diberi taklimat mengenai latar belakang jambatan itu sebelum menyampaikan ucapan.

Turut dijadualkan hadir pada acara itu ialah Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Selepas itu, Najib akan ke Miri di mana beliau akan melancarkan lapan pakej lagi bagi projek Lebuh Raya Pan Borneo yang sedang dilaksana dari Sematan ke Miri, di Eastwood Valley Country Club.

Beliau turut dijangka akan menyaksikan majlis menandatangani kontrak kerja oleh 10 kontraktor pakej kerja dan menyampaikan surat kontrak, surat anugerah dan surat niat.

Mesyuarat jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Pengarah UPPAN Datuk Khir Busrah diadakan di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memuktamadkan butiran dan persiapan yang berkaitan dengan kedua-dua acara tersebut.