Penunggang parah, lembu mati dalam rempuhan awal pagi

0
LANGGAR LEMBU: Lembu mati di tepi Jalan Nyabor-Sessang selepas dipercayai dirempuh penunggang motosikal yang turut cedera parah.

LANGGAR LEMBU: Lembu mati di tepi Jalan Nyabor-Sessang selepas dipercayai dirempuh penunggang motosikal yang turut cedera parah.

KABONG: Seorang penunggang motosikal cedera parah selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai merempuh seekor lembu di Jalan Nyabor-Sessang dekat sini, awal pagi kelmarin.

Kejadian itu turut mengakibatkan lembu terbabit mati.

Insiden dipercayai berlaku sekitar jam 12.40 pagi apabila penunggang yang hanya dikenali sebagai Mus, 30-an, dari Kampung Empelam dekat sini, sedang menunggang motosikal di kawasan terbabit.

Menurut dua sahabat mangsa, Ismail Deni, 54, dan Laksamana Bakar, 58, ketika melalui lokasi kejadian, mereka berdua ternampak seseorang sedang terbaring di atas jalan.

“Kami menghampirinya dan mendapati seorang lelaki cedera. Pada masa sama, kami melihat sebuah motosikal rebah di tepi jalan berhampiran mangsa.

“Lebih mengejutkan, terdapat seekor lembu yang sudah mati turut terbaring di lokasi sama. Justeru, kami percaya kemalangan berlaku melibatkan mangsa dengan lembu terbabit,” kata mereka berdua kepada media, semalam.

Terdahulu, dua sahabat itu dalam perjalanan pulang dari menghadiri Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Kabong/Saratok yang berlangsung di Kampung Sessang pada malam sebelumnya.

Melihat situasi itu, mereka terus menghubungi Penghulu Kampung Sessang untuk memohon bantuan membawa mangsa mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Nyabor, namun disebabkan kecederaan parah, mangsa terus dirujuk ke Hospital Saratok untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.