Semenanjung Santubong jadi lokasi tarikan pelancong

0

Jadi tapak bersejarah arkeologi, tarikan kepada pelancong, pakar sejarah menjelang tiga tahun akan datang

// Oleh Jessica Jawing //

PEMBANGUNAN: Abang Johari menunjukkan pelan pembangunan di Semenanjung Santubong yang bakal disiapkan menjelang tahun 2019 sambil disaksikan Leh (dua kanan).

PEMBANGUNAN: Abang Johari menunjukkan pelan pembangunan di Semenanjung Santubong yang bakal disiapkan menjelang tahun 2019 sambil disaksikan Leh (dua kanan).

SANTUBONG: Semenanjung Santubong bakal menjadi tapak bersejarah arkeologi dan tarikan penting kepada pelancong serta pakar sejarah menjelang tiga tahun akan datang.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, ia ekoran daripada cadangan Taman Arkeologi di tapak warisan Sungai Jaong yang akan disambung dengan cadangan Pusat Saintifik Wallace.

“Ini adalah antara pembangunan yang bakal kita laksanakan di Semenanjung Santubong yang kawasannya di bawah Muzium Sarawak.

“Kita akan mulakan butiran mengenai cadangan ini bermula tahun depan dan dijangka siap semuanya menjelang tahun 2018 dan 2019, yang akan menjadi tarikan penting kepada pelancong serta pakar sejarah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak arkeologi yang diiringi Timbalan Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Dr Charles Leh di tapak warisan Sungai Jaong di sini, semalam.

Katanya kementerian dengan itu akan menaik taraf kemudahan di kawasan berkenaan dengan mewujudkan infrastruktur mesra pelawat, khasnya akses kepada orang awam.

“Kita akan membincangkan perkara ini dengan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) untuk mengenal pasti bagaimana untuk membina jalan dari Jalan Sultan Tengah sehingga ke tapak (Sungai Jaong).

“Pada masa yang sama menaik taraf kawasan di Sungai Jaong yang akan dihubungkan dengan taman ini, selain menyediakan pusat maklumat serta menaik taraf lima tapak Batu Gambar dengan meletakkan maklumat sejarah di tapak berkaitan,” katanya.

Tambah Abang Johari, Semenanjung Santubong mempunyai banyak artifak dan tapak bersejarah selain latar belakang sejarahnya.

Jelasnya, kerajaan melalui kementerian mahu memelihara dan memulihara tapak bersejarah berkenaan bukan sahaja kepada pelancongan tetapi dari segi kajian atau penyelidikan.

“Kita mencadangkan Taman Arkeologi di kawasan (Sungai Jaong) yang menghimpunkan lima tapak Batu Gambar yang amat penting kerana menggambarkan kemunculan awal sejarah Santubong.

“Di mana ia turut dipengaruhi Hindu, Buddha dan Santubong sebagai pusat dagangan semasa kedatangan Islam iaitu kesemua ini pada abad ke-7, iaitu lebih 1,000 tahun lalu,” katanya.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, Taman Arkeologi itu menandakan Santubong sebagai pintu masuk antarabangsa bagi Borneo sebelum ini.

Taman Arkeologi berkenaan katanya, akan dihubungkan dengan Pusat Saintifik Wallace di mana kementerian akan membina semula banglo di mana Wallace, melakukan penyelidikan.

“Kita berharap menjelang tahun 2019, kesemua tapak di taman dan kawasan dicadangkan dapat disiapkan serta menjadi tapak bersejarah penting,” tegasnya.