APMM jalin kerjasama perkasa undang-undang mencegah kecurian khazanah kapal karam

0

KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan bekerja-sama dengan Jabatan Laut dan Jabatan Warisan Negara bagi memperkasa undang-undang berkaitan mencegah kegiatan mencuri khazanah daripada kapal yang karam di sekitar perairan negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Zulkifili Abu Bakar berkata penubuhan jawatankuasa melibatkan ketiga-tiga agensi itu dijadualkan dalam tempoh sebulan.

“Antara intipati yang dibincangkan ialah memperluaskan zon yang dilindungi kerana Akta Warisan Negara sedia ada membenarkan tindakan diambil jika perbuatan itu dilakukan dalam lingkungan 12 batu nautika perairan negara.

“Kita akan mencadangkan zon ini diperluaskan sehingga 200 batu nautika kerana kapal yang karam ini mempunyai nilai sejarah kepada negara dan seharusnya menjadi tarikan kepada penggemar selam skuba,” katanya.

Zulkifili berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri seminar Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di sini, semalam.

Beliau menjelaskan buat masa ini, antara peruntukan sedia ada yang boleh diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan itu hanya didenda sekiranya tidak memiliki insurans.

Zulkifili berkata sudah tiba masanya, undang-undang sedia ada diperkasakan sama ada menerusi Akta Warisan Negara atau akta di bawah APMM bagi memastikan pelaku kesalahan ini menerima hukuman setimpal dan dijadikan pengajaran kepada pihak yang lain.

Katanya kerjasama yang erat antara APMM dan agensi penguat kuasa negara jiran termasuk Indonesia juga dapat memastikan tiada kejadian rampasan kargo berlaku di sekitar perairan negara pada tahun ini.

Beliau berkata, kejadian terakhir ialah Kapal MT Orkim Harmony pada 11 Jun 2015 yang dirampas ketika berada di timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor.

Mengulas mengenai seminar itu, Zulkifili berkata seminar itu memfokuskan kerjasama dan usaha serantau menangani ancaman jenayah rentas sempadan antara Malaysia dan Australia.

Beliau berkata seminar lima hari sejak Isnin lalu, melibatkan penguat kuasa maritim Malaysia dengan Australian Border Force (ABF) dan antara fokus utama ialah undang-undang laut di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Seminar ini juga membincangkan kegiatan lanun dan rompakan yang kurang berlaku di Australia, namun terjadi di negara kita. Ia merupakan bidang yang membolehkan kita berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan Australia yang mempunyai banyak pengetahuan secara teori,” katanya.

Zulkifili berkata persida-ngan itu dihadiri 22 pegawai penguat kuasa maritim Malaysia manakala pegawai lain boleh mengikuti seminar itu secara langsung menerusi sidang video. — Bernama