Kerajaan akan lancar program iktiraf peranan perusahaan sosial

0

Beri manfaat, insentif, anugerah kehormatan kepada perusahaan sosial

KAGUM: Najib bersama Madius (kanan) melihat robot bernama Meet Papper selepas merasmikan Majlis Kemuncak Tahunan Pengkomersilan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hsemalam. — Gambar Bernama

KAGUM: Najib bersama Madius (kanan) melihat robot bernama Meet Papper selepas merasmikan Majlis Kemuncak Tahunan Pengkomersilan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hsemalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melancarkan dua program penting untuk memberi pengiktirafan lebih baik kepada sektor perusahaan sosial yang masih baharu di Malaysia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata program itu – pensijilan perusahaan sosial dan insentif perolehan sosial – akan juga memberikan manfaat dan insentif serta anugerah kehormatan kepada perusahaan sosial.

“Ini selain sasaran 1,000 perusahaan sosial baharu menjelang 2018 yang saya berikan komitmen semasa melancarkan Pelan Tindakan Perusahaan Sosial negara pada Mei 2015.

“Program pensijilan itu akan memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 500,000 individu B40 melalui usaha perusahaan sosial ini. Pensijilan ini akan diperkenalkan oleh Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) bermula Jun 2017,” katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada majlis pelancaran Komuniti Keusahawanan Global (GECommunity 2016) di sini semalam.

Persidangan dua hari bertemakan ‘Mengemas kini Konsep Masa Depan Usahawan’ sempena pelancarannya, menyaksikan penyertaan lebih daripada 4,000 usahawan, pakar inovasi, penggiat industri dan mereka yang berpengaruh dalam ekosistem.

Bagi usaha mewujudkan ekosistem pembangunan keusahawanan, Najib berkata kini terdapat lebih 150 program pembangunan keusahawanan yang dilaksanakan oleh 15 kementerian dan 60 agensi merentasi semua kumpulan sasaran bagi memastikan penglibatan semua peringkat masyarakat.

Antara program pembangunan itu ialah Pelan Pembangunan Keusahawanan negara, Portal Keusahawanan, dan inisiatif dasar keusahawanan dan PERWANI, yang dirancang untuk memberikan akses kepada wanita terhadap peluang ekonomi yang lebih besar.

“Kini terdapat 13,044 kumpulan PERWANI yang beroperasi di seluruh negara dengan penyertaan 170,693 wanita.

“Kami juga membuka kem Keusahawanan 1Malaysia setiap tahun. Setakat ini seramai 25,877 usahawan telah meraih manfaat daripada pengalaman yang dilalui,” katanya.

Tambahan kepada pelancaran GECommunity 2016, Najib berkata kerajaan turut memuktamadkan penyiapan strategi Pemasaran Malaysia Tahun 2016 (MCY16) yang akan menyerlahkan kejayaan-kejayaan utama, sinergi dan dinamisme yang muncul daripada program ini.

“Untuk itu saya mengumumkan gelombang kedua MCY bagi 2017 atau MCY2.0. Kita yakin bahawa tahun depan akan menyaksikan lebih banyak penyelesaian baharu, yang berasaskan teknologi inovatif termasuk daripada sektor swasta dan industri.

“Kita juga akan menjemput rakan negara serantau untuk menjadi sebahagian daripada platform pemasaran di Malaysia,” katanya.

Pada acara itu juga, Najib mengumumkan dua inisiatif strategik yang akan dilaksanakan kerajaan melalui MaGIC iaitu ‘The Global Accelerator Programme’ (program pencepat global) dan ‘The ASEAN Impact Challenge’ (cabaran impak ASEAN).

Inisiatif ini, katanya, dirancang untuk menyokong satu sama lain dalam mewujudkan usahawan yang akan memberikan kesan transformasi dalam pelbagai sektor dan masyarakat.

“Inisiatif ini akan menggalakkan cara baharu menguruskan perniagaan, menarik secara formal kemasukan korporat dalam ekosistem keusahawanan, meningkatkan sokongan bagi usahawan dan pemangkin pertumbuhan,” katanya. — Bernama