Asia Sawit Tenom realisasi hasrat lahir usahawan peladang

0

TENOM: Pelancaran Asia Sawit Centre di bulatan Kg Entabuan pada Rabu merupakan antara realisasi daripada Lembaga Pertubuhan Peladang untuk melahirkan usahawan tempatan dalam sektor pertanian.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tenom OKK David Jani berkata pusat sawit yang menawarkan perkhidmatan pembelian dan mengangkut hasil dari pelbagai ladang setempat itu diusahakan oleh ahli pertubuhan berkenaan bagi Unit Entabuan, Chew Vui Fah.

“Lokasi pusat pembelian itu terletak kira-kira 3km dari pekan yang tempatnya berada di lokasi persimpangan bulatan Entabuan–Lagud Seberang,” katanya menghubungi akhbar ini selepas menyaksikan perasmian premis baharu usahawan peladang itu.

Perasmian yang disempurnakan oleh Ketua Masyarakat Cina Kapitan Alfred Tay itu turut disaksikan kira-kira 150 pekebun kecil sawit di sini.

Chew yang menjadi pengusaha belian sawit itu merupakan usahawan aktif dan berjaya dalam pelbagai usaha lain meliputi pertanian, penternakan ikan dalam sangkar, lembu, ladang sawit, limau pamelo dan buah-buahan.

Beliau yang berasal dari Kg Pansailon, terletak di sekitar tempat berkenaan, telah menceburi bidang usaha itu semenjak selesai sekolah dengan mewarisi beberapa usaha yang telah dirintis keluarga.

Pada masa ini, hasil pertanian beliau dipasarkan di pelbagai tempat di seluruh negeri dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Berkongsi tentang usaha niaga yang dijalankannya, Chew yang dikenali masyarakat setempat sebagai Apet memberitahu bagi memastikan usahanya berjaya, beliau kerap mengikuti pelbagai kursus singkat mengenai bidang perladangan termasuk lawatan ke pelbagai tempat di peringkat negeri dan kebangsaan.