BERNAS diarah semak pemotongan padi tinggi di Semenanjung Perak

0

SERDANG: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Tajuddin Abdul Rahman telah mengarahkan Syarikat Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) untuk menyemak balik pemotongan padi yang tinggi di Semenanjung Perak.

Beliau berkata BERNAS Sungai Ranggam dan Kawalselia Padi Dan Beras kementerian juga diminta menyemak semula serta menyediakan laporan mengenai jumlah kerugian yang dialami oleh para petani berikutan pemotongan itu.

Katanya, kementerian memandang isu ini dengan lebih serius memandangkan ia melibatkan kehidupan petani dan keluarga yang bergantung kepada sumber hasil padi sebagai pendapatan.

“Saya rasa tidak gembira terhadap pemotongan sebanyak 30 hingga 40 peratus pada tuaian awal sebanyak 80 metrik tan. Kita kesian petani kerana potongan terlalu tinggi.

“Saya mahu tahu bagaimana BERNAS boleh bantu, Sekiranya tidak boleh, saya akan fikirkan sumber lain untuk menggantikan pendapatan petani, kalau bukan sepenuhnya, sekurang-kurangnya sebahagian,” katanya kepada pemberita ketika melawat pusat media  Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 di semalam.

MAHA 2016, yang merupakan ekspo pertanian terbesar Malaysia, dengan tema ‘Makanan Kita, Masa Depan Kita’, berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS) sejak 1 Dis sehingga 11 Dis ini.

Beliau mengulas tindakan sekumpulan petani yang berkumpul di hadapan kilang BERNAS di Sungai Ranggam, Pasir Salak sebagai membantah tindakan potongan harga jualan beras yang tinggi antara 35 hingga 50 peratus daripada hasil jualan beras petani.

Namun begitu, Tajuddin  berkata: “Saya diberitahu 80 metrik tan adalah tuaian awal dan selalunya jumlah tuaian adalah 7,000 hingga 8,000 metrik tan. Mungkin selepas itu, tuaian berikut akan jadi lebih baik.

“Kementerian akan sentiasa pantau dan lihat bagaimana kerugian ini tidak berterusan dan perlu ditanggung oleh pihak petani.”

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya akan menyiasat mengenai pengeluaran hasil padi petani di Sekinchan yang terjejas teruk akibat serangan penyakit hawar daun bakteria. — Bernama