Gejala rasuah libatkan belia membimbangkan

0
KENANGAN: Nancy (empat kiri), Badrul (lima kiri) merakamkan kenangan bersama para peserta dan jemputan Program Hari Anti Rasuah Kebangsaan Peringkat Negeri 2016 semalam.

KENANGAN: Nancy (empat kiri), Badrul (lima kiri) merakamkan kenangan bersama para peserta dan jemputan Program Hari Anti Rasuah Kebangsaan Peringkat Negeri 2016 semalam.

1,045 individu ditahan dari 2013 hingga Oktober tahun ini adalah golongan belia 40 tahun ke bawah

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Gejala rasuah melibatkan golongan belia berusia 40 tahun ke bawah di negara ini berada pada tahap membimbangkan.

Perkara tersebut dinyata-kan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berdasarkan statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Nancy, sejak 2013 hingga Oktober tahun ini sahaja, seramai 1,092 individu telah ditahan oleh SPRM berhubung kesalahan rasuah.

Daripada jumlah itu, kata-nya, seramai 1,045 individu yang ditahan adalah dari kalangan golongan belia berusia 40 tahun ke bawah.

Statistik SPRM sepanjang 2003 hingga 2013 pula menunjukkan 54 peratus daripada 5,799 individu yang ditahan atas kesalahan rasuah adalah golongan belia.

“Usaha SPRM mendekati golongan muda dalam menentang rasuah dan salah guna kuasa amat bertepatan apatah lagi mereka merupakan pewaris masa depan negara.

“Justeru, demi rakyat dan masa depan negara, kita tidak boleh berkompromi dalam membasmi rasuah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Program Hari Anti Rasuah Antarabangsa Peringkat Negeri 2016 semalam.

Program tersebut berlangsung di Auditorium Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Sarawak di Kota Samarahan, dekat sini.

Pada majlis itu, Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong turut berbangga dengan kejayaan demi kejayaan SPRM dalam menahan individu yang terlibat dalam gejala rasuah.

Ini termasuk kes penyelewengan melibatkan Jabatan Air Negeri Sabah pada 4 dan 20 Oktober lalu yang kini memasuki fasa terakhir siasatan.

Di Sarawak pula, katanya, komitmen Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menjadi kebanggaan seluruh rakyat apabila menjadi negeri pertama menandatangani Ikrar Integriti melibatkan anggota kabinet dan setiausaha politik.

Insiatif berkenaan, katanya, secara tidak langsung me-ningkatkan keyakinan rakyat terhadap jentera pentadbiran kerajaan negeri di semua peringkat.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak Dato Badrul Shah Norman berkata usaha mencegah rasuah bukan kerja mudah bagi SPRM.

Justeru, katanya, semua pihak harus berganding bahu dan memberi sokongan penuh kepada SPRM dalam usaha memerangi gejala rasuah dalam negara.

“Kita berharap program antirasuah ini akan dapat meraih sokongan serta kerjasama daripada semua pihak dan masyarakat secara keseluruhannya.

“SPRM tidak akan membenarkan perbuatan rasuah memusnahkan negara kita Malaysia yang tercinta,” katanya.