MCY’16 berjaya tingkat bidang penyelidikan negara: Madius

0
PRODUK KLONER: Madius (tengah) menunjukkan produk Kloner dari Cybersecurity Malaysia pada Majlis Pelancaran Produk KPI Khas Tahun Pengkomersialan Malaysia 2016 (MOSTI) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

PRODUK KLONER: Madius (tengah) menunjukkan produk Kloner dari Cybersecurity Malaysia pada Majlis Pelancaran Produk KPI Khas Tahun Pengkomersialan Malaysia 2016 (MOSTI) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

Jadi platform penyelidik komersial produk yang diinovasi oleh mereka

KUALA LUMPUR: Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY’16) dilihat berjaya meningkatkan minat dalam bidang penyelidikan dan keusahawanan, sekali gus memberikan kesan jangka panjang kepada pembangunan ekonomi negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau berkata MCY’16 kini menjadi paltform untuk para penyelidik dan usahawan mengkomersialkan produk yang diinovasikan oleh mereka.

“Pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut menyediakan pelan jangka panjang masa pendek dan sederhana untuk memastikan peningkatan positif aktiviti pengkomersialan, antaranya pemadanan perniagaan dan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran lima produk komersial bersempena MCY 2016 di sini, semalam.

Produk yang dilancarkan adalah C-Cube Burj daripada Asia Corp (M) Sdn Bhd, Pen Dua dan Kloner daripada Cyber Security Malaysia, Deep Wound Management daripada SIRIM (M) Berhad dan Big Data Solution daripada Speedminer Sdn Bhd.

Produk ‘Deep Wound Management’ sebagai contohnya, merupakan produk yang berfungsi mempercepatkan proses penyembuhan luka dengan menggalakkan penghasilan sel baharu.

Madius berkata MCY 2016 yang julung kali diadakan tahun ini ternyata mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pemain industri penyelidikan dan pembangunan (R&D).

MCY 2016 merupakan inisiatif bersama MOSTI dan Kementerian Kewangan (MOF), bertujuan memupuk budaya keusahawanan, meningkatkan kesedaran mengenai pengkomersialan R&D dan impaknya kepada pembangunan negara.

Dengan pengkomersialan produk R&D tempatan itu, produk inovatif berkualiti tinggi dapat dihasilkan yang dapat menembusi pasaran luar negara dan mewujudkan jenama Malaysia. — Bernama