Opsyen pelantikan OKU perlu diberi perhatian: Azizah

0
PEKA OKU: Azizah (belakang tengah) sempat berbual bersama beberapa peserta OKU yang menyertai program itu.

PEKA OKU: Azizah (belakang tengah) sempat berbual bersama beberapa peserta OKU yang menyertai program itu.

KOTA KINABALU: Ketua-ketua perkhidmatan di peringkat kementerian, jabatan mahu pun kerajaan negeri disaran memberi perhatian terhadap opsyen pelantikan untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) secara kontrak atau sambilan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata saranan berkenaan bagi memenuhi sasaran pengisian penjawat awam OKU yang ditetapkan kerajaan.

Katanya pihak yang berkaitan perlu berfikir secara kreatif dan proaktif dalam melihat langkah yang wajar untuk memenuhi pengisian opsyen jawatan berkenaan.

“Sehingga kini terdapat sejumlah 3,446 OKU yang berkhidmat di kementerian, jabatan dan kerajaan negeri di seluruh negara.

“Jumlah ini mewakili 0.23 peratus daripada sasaran pengisian penjawat awam OKU yang ditetapkan.

“Tidak dapat dinafikan kekangan jawatan kosong secara tetap adalah cabaran terbesar dalam melantik golongan OKU di sektor perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Penutupan Roadshow Pelan Tindakan OKU 2016-2022 Zon Sabah dan Labuan di sini kelmarin.

Menurutnya pelantikan OKU sebagai penjawat awam adalah salah satu contoh aplikasi pendekatan trek berkembar.

Azizah berkata pelantikan itu bukan sahaja memperkasakan OKU malah secara tidak langsung mendayaupayakan para penjawat awam untuk menjadi sebuah komuniti atau organisasi yang peka terhadap pekerja OKU.

Selain itu jelasnya usaha berkenaan mewujudkan suasana budaya kerja yang kondusif dan inklusif untuk semua.

“Bagi membolehkan proses pelantikan dan penempatan berlaku secara berkesan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Jabatan Pembangunan OKU (JPOKU) menawarkan ‘Disability Equality Training’ (DET).

“Pelaksanaan DET bertujuan meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang OKU dan isu ketidakupayaan dari perspektif model sosial.

“Ia sebagaimana yang terkandung dalam strategi pada teras kesembilan di bawah tajuk advokasi dalam pelan tindakan ini,” katanya.

Setakat ini jelasnya terdapat seramai 49 OKU yang ditauliahkan sebagai jurulatih DET dan bersedia menawarkan perkhidmatan DET kepada mana-mana pihak yang berminat.

Pihaknya percaya para peserta yang mengikuti program DET terutama dalam kalangan pihak berkuasa melantik berjaya memperoleh pengetahuan khususnya dalam memahami isu ketidakupayaan yang dihadapi oleh OKU.

Pada masa sama katanya ia memberikan komitmen yang tinggi untuk sama-sama menjayakan hasrat kerajaan melalui Pelan Tindakan OKU.