Permaisuri Agong berangkat ke Majlis Sambutan 100 tahun PPPM

0

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan 100 Tahun Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) di sini semalam.

Baginda yang juga Penaung Diraja PPPM, tiba di Dewan Merdeka PWTC, kira-kira jam 10.30 pagi diiringi Yang Dipertua PPPM yang juga isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam titah ucapannya, baginda berkata seiring dengan tempoh kematangan PPPM yang telah mencapai 100 tahun, pemimpin-pemimpinnya hendaklah memanfaatkan media sosial sebagai medium untuk menyebarluaskan maklumat termasuk penglibatan serta pencapaian ahlinya kepada orang ramai.

“Paparan maklumat pula hendaklah sentiasa dikemas kini, mesra pengguna serta mudah diakses oleh orang ramai selaras dengan perkembangan teknologikomunikasi,” titah baginda.

Menurut baginda lagi, pemimpin PPPM hendaklah sentiasa bersedia dengan pendekatan yang lebih holistik bersesuaian dengan kehendak anggota di semua peringkat dan program yang dirancang adalah dalam pelbagai bidang mengikut kumpulan sasaran bagi menarik minat anggota untuk terus aktif.

Sementara itu, Rosmah berkata sempena sambutan 100 Tahun PPPM, beliau berharap setiap gadis yang menyertai persatuan itu akan terus diterapkan dengan sifat positif dan nilai-nilai murni. — Bernama