Sisa pertanian hasilkan pendapatan RM15,000 sebulan

0

SERDANG: Bekas arkitek, Abdul Rahman Sani mampu menjana pendapatan sehingga RM15,000 sebulan menerusi perniagaan seni kraf, cenderamata dan hiasan rumah diusahakannya menggunakan sumber bahan terbuang daripada sisa pertanian.

Perniagaan dijalankan anak jati Kedah itu bersama isterinya, Nik Rusnah Ab Rahman, 55, seorang guru seni di sebuah sekolah kebangsaan, adalah 100 peratus berkonsepkan kitar semula dan ‘go green’.

Abdul Rahman, 56, berkata hanya menggunakan bahan buangan pertanian seperti jerami padi, pokok kenaf, batang pisang, tempurung kelapa dan jambul nanas, mereka berjaya menghasilkan produk antaranya kertas, hiasan dinding, lampu hiasan, rantai kunci, kotak tisu serta magnet peti ais.

Beliau berkata produk yang dihasilkan di sebuah bangsal berhampiran kediamannya di Kedah atas jenama Armensa Design itu dijual bermula dari harga semurah RM5 sehingga mencecah RM5,000.

“Produk dihasilkan menggunakan bahan terbuang ini mempunyai peminatnya tersendiri selain kebanyakan pelanggan kami terdiri daripada pelbagai agensi kementerian yang mahu menjadikannya sebagai cenderamata dan hiasan pejabat.

“Melihat permintaan yang cukup menggalakkan ini, saya bersama isteri mempunyai perancangan untuk memperluaskan empayar perniagaan ini ke luar negara pada masa depan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang, di sini semalam.

Mula menceburi bidang keusahawanan berasaskan pertanian sejak 2000, Abdul Rahman berkata proses untuk menghasilkan bahan buangan pertanian menjadi produk yang mempunyai nilai di pasaran memerlukan beberapa prosedur utama.

“Pertama ialah proses mengumpulkan bahan daripada pemain industri di sekitar Kedah sebelum mencuci dan membersihkan bahan diperlukan itu seterusnya melalui proses pembuatan produk dikehendaki.

“Fasa terakhir penghasilan produk akhir merupakan proses paling penting di mana ia memerlukan kreativiti dan ketelitian bagi memastikan produk berkualiti dan mempunyai nilai kebolehpasaran yang baik,” katanya.

Abdul Rahman berkata beliau juga mendapat pelbagai bantuan daripada pihak berkaitan seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda Kedah, Kraftangan Malaysia Kedah serta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara. — Bernama