Terus amal budaya integriti: Musa

0

Sebar mesej antirasuah, isyarat kepada pelaku agar hentikan jenayah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mengingatkan agar anggota perkhidmatan awam negeri sentiasa menekankan amalan dan budaya integriti, akauntabiliti serta tadbir urus yang cekap dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Beliau berkata aspek berkenaan sangat penting bagi memastikan peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan sasar, sekali gus mengukuhkan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan khususnya sektor awam dalam memberikan perkhidmatan yang cekap.

“Dalam aspek integriti, saya telah mengarahkan agar sistem dan prosedur jabatan dan agensi negeri yang berkaitan perlu dikaji dan diteliti dengan sewajarnya. Ini untuk memastikan tiada lagi ruang dan peluang berlakunya rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan pada masa akan datang.

“Kerajaan negeri tidak pernah berkompromi dalam hal-hal berkaitan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan. Kita sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya dalam memerangi gejala itu,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa Peringkat Negeri Sabah di sini, semalam.

Mengulas mengenai majlis itu, Musa berkata program itu membuktikan komitmen dan sokongan dalam menyebarkanluaskan mesej antirasuah sebagai isyarat kepada pelaku rasuah untuk menghentikan perlakuan jenayah tersebut.

“Bersempena sambutan ini, saya menyeru kepada seluruh lapisan masyarakat untuk terus memberikan sokongan padu dan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan menyalurkan maklumat sebarang perlakuan rasuah dan salah guna kuasa.

“Dengan adanya kerjasama semua pihak untuk menyebarkan mesej antirasuah, saya yakin matlamat program ini untuk membanteras gejala rasuah dapat direalisasikan,” tambah Musa.

Sementara itu, ketua menteri merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan keselamatan, khususnya pihak polis kerana berjaya menumpaskan sekumpulan penjenayah yang cuba melakukan penculikan di perairan Lahad Datu, semalam.

“Saya telah diberi taklimat ringkas oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun mengenai perkara itu…namun saya tidak boleh mengulas lebih lanjut dan laporan penuh mengenai perkara itu akan diberikan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Dalam kejadian itu dipercayai tiga daripada lima lelaki disyaki kumpulan penculik dari selatan Filipina ditembak mati dalam pertempuran bersama pasukan keselamatan ketika cuba melakukan penculikan di kawasan perairan antara Merabung-Bakapit, dekat Lahad Datu kira-kira jam 9.51 pagi.

Difahamkan dua lagi suspek diberkas manakala seorang lelaki dipercayai mangsa culik, berjaya diselamatkan.

Seorang anggota keselamatan daripada Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) mengalami kecederaan pada bahagian kaki dipercayai terkena tembakan dalam kejadian itu. — Bernama