Rempuhan maut

0
TRAGIS: Mangsa dikejar untuk mendapatkan rawatan di HUS, namun meninggal dunia selepas lebih tiga jam bertarung nyawa.

TRAGIS: Mangsa dikejar untuk mendapatkan rawatan di HUS, namun meninggal dunia selepas lebih tiga jam bertarung nyawa.

REMUK: Keadaan kereta yang dirempuh mangsa.

REMUK: Keadaan kereta yang dirempuh mangsa.

Remaja terbunuh, rakan cedera motosikal langgar kereta masuk simpang di Siburan.

Oleh Sandy Mark Luna //

KUCHING: Seorang remaja maut manakala rakannya cedera ringan apabila motosikal ditunggangi mereka merempuh sebuah kereta yang membelok ke satu simpang di Batu 18 Jalan Kuching-Serian, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu, mereka berdua dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Lintang Baru, Batu 28 dari pesta ria di pasar Siburan.

Mangsa, Mohammad Daniel Iqmal Mustaza, 15, yang menunggang motosikal cedera parah dan bertarung nyawa lebih tiga jam sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Pembonceng motosikal, 19, cedera ringan, manakala pemandu kereta, 61, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak ASP Mathew Manggie berkata, ketika kejadian pemandu yang datang dari arah Serian sedang membelok masuk ke satu simpang sebelah kanan apabila bahagian pintu belakang keretanya dirempuh oleh motosikal ditunggangi mangsa yang bergerak lurus.

“Akibat pelanggaran, mangsa mengalami kecederaan serius dan dibawa ke HUS dengan menggunakan ambulans.

“Dia bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 3 pagi semasa menjalani rawatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kes itu dikendalikan Inspektor Mohd Nasrun Ismail di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi keluarga mangsa yang turut berada di HUS selepas dimaklumkan mengenai insiden tersebut.

Menurut abang mangsa, Daniel yang merupakan anak bongsu dari lima beradik adalah ketiga daripada adik-beradiknya yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya.

Difahamkan, abang mangsa iaitu anak keempat dari lima beradik itu maut dalam kemalangan jalan raya pada 2001, manakala kakaknya (anak kedua dari lima beradik) terbunuh apabila kereta dipandu berlanggar dengan sebuah lori, masing-masing di Panchor dan Tapah, Jalan Kuching-Serian.